PASANGAN Ezzaty dan Azwan mulakan kembali berniaga mi udang untuk kesinambungan rezeki.
PASANGAN Ezzaty dan Azwan mulakan kembali berniaga mi udang untuk kesinambungan rezeki.
RIENA berniaga Laksa Lailer menggunakan nama wataknya dalam drama Kampung People.
RIENA berniaga Laksa Lailer menggunakan nama wataknya dalam drama Kampung People.
Syafil Syazwan Jefri


SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kembali 13 Januari lalu, sektor industri kreatif kembali terkesan apabila aktiviti penggambaran tidak dibenarkan.

Ramai yang mula bimbang bukan saja kerana kerja tergendala, tetapi pendapatan turut terjejas dan dalam masa sama dapur perlu terus berasap.

Bagaimanapun, semua yang terbabit akur dengan arahan kerajaan bagi memastikan penurunan kes positif Covid-19 di negara ini dan perlu mencari alternatif bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Ada yang sudah bersedia dengan tabungan selepas menempuh pengalaman ketika PKP pertama tahun lalu. Dan, ramai juga yang sudah mula berjinak-jinak dengan perniagaan terutamanya makanan.

Antaranya pelakon Riena Diana yang memulakan perniagaan Laksa Lailer mulai kelmarin.

Riena ketika dihubungi berkata, dia tidak menyangka perniagaan laksa yang menggunakan nama wataknya dalam drama bersiri Kampung People itu mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, untuk hari pertama kelmarin, dia mengehadkan kepada 50 pesanan saja.

"Memandangkan kita berada dalam PKP, saya tergerak hati untuk mencuba nasib menjual laksa kerana saya tahu cara memasak laksa.

LAKSA yang dijual Riena.
LAKSA yang dijual Riena.

"Tak sangka pula, di hari pertama sambutannya sangat menggalakkan. Bermula jam 6 petang, saya sudah mula menghantar pesanan kepada pelanggan menggunakan 'runner' dan menghantar sendiri," katanya.

Riena berkata, sedikit sebanyak dia dapat menjana pendapatan dan membantu mereka yang memerlukan menerusi usahanya itu.

"Di samping menjana pendapatan, saya juga menyimpan niat untuk menyumbangkan sebahagian daripada hasil jualan kepada mereka yang terjejas akibat banjir di pantai timur.

"Sebelum ini, saya ada dipelawa beberapa pihak untuk menyertai misi bantuan, tapi disebabkan kita sedang berdepan Covid-19 saya tak berani mengambil sebarang risiko.

"Jadi, apa yang saya mampu lakukan adalah dengan cara berniaga dan menyumbang mengikut kemampuan saya," katanya.

Riena turut dibantu keluarganya untuk menguruskan perniagaan laksa ini.

"Di rumah, ibu, nenek dan ibu saudara saya ada membantu dari segi persediaan dan saya yang memasak sendiri juadah laksa ini," katanya yang turut terjejas apabila penggambaran lima drama lakonannya terpaksa ditunda.

Ezzaty Abdullah, Azwan Kombos jual mi udang

Pasangan suami isteri pelakon, Ezzaty Abdullah dan Azwan Kombos yang kembali menjalankan perniagaan mi udang selepas memulakannya ketika PKP pertama tahun lalu.

Ezzaty berkata, banyak aspek yang membuatkan dia dan suami kembali berniaga antaranya selepas meneliti sistem kewangan mereka.

"Memikirkan simpanan kami yang semakin berkurangan. Perniagaan spa juga tak boleh dibuka dan sewa masih perlu dibayar, jadi saya dan suami memulakan semula perniagaan mi udang yang kami pernah jalankan ketika PKP pertama tahun lalu.

"Alhamdulillah, sambutan masih menggalakkan. Namun, jika sebelum ini kami siapkan lebih 100 pesanan sehari, tapi kali ini kami hadkan kepada 60 pesanan sehari," katanya.

Selain itu, dia dan suami juga mengusahakan produk pes sambal serba guna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 6:49 AM