NABILA ketika menyanyikan lagu Aku Terluka secara 'live' pada majlis pelancaran baru-baru ini.
NABILA ketika menyanyikan lagu Aku Terluka secara 'live' pada majlis pelancaran baru-baru ini.

Kuala Lumpur: Meskipun penyanyi Nabila Razali, 30, menafikan dia membuat gimik untuk promosi single terbaharu Aku Terluka, namun, segelintir netizen difahamkan sudah muak dan menyampah dengan cara dilakukannya.

Difahamkan juga Nabila dikecam dan dikritik warga maya yang menyifatkan dia hanya tahu menggunakan modal membuat gimik saja yang menjurus pada kisah cinta dan terbaharu, membabitkan teka teki perkahwinan.

Bukan hanya itu, Nabila juga dikritik netizen kerana dilihat 'gagal' melontarkan nada tinggi ketika dia mempersembahkan nyanyian secara langsung (live), Aku Terluka pada majlis pelancaran baru-baru ini.

Rata-rata warga maya meminta Nabila memilih lagu sesuai dengan vokalnya dan mengelak merakamkan lagu bernada tinggi kerana tidak semua penyanyi boleh menyanyi nada tinggi yang bagus.

"Kalau tak boleh nyanyi 'high note' (nada tinggi), jangan bagi lagu gini (begini) kat (dekat) dia boleh tak. Kesian la dia," luah seorang warga maya.

''Steady' kak Nab, memang bakat terpendam yang mungkin selamanya boleh dipendam," kata seorang netizen lagi.

"Kadang kesian kat dia ni. Suara dia ok je kalau bukan 'part' (bahagian) nada tinggi. Tapi, tak tau kenapa dia tetap pilih lagu 'high note' (nada tinggi) yang macam terlalu tinggi untuk suara dia," tulis seorang warganet.

Ternyata, Nabila atau mesra dipanggil 'Kak Nab' pada kalangan netizen sering dikritik persembahan nyanyiannya, dan kejadian dia terkucil menyanyikan lagu Peluang Kedua di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-35 diingati hingga kini.

Nabila yang mengakui masih dihantui trauma itu walaupun tidak seteruk dulu, bagaimanapun kini lebih berhati-hati dan terus memperbaiki kualiti nyanyian dengan menyertai beberapa kelas vokal.

"Saya tak boleh tipu, malah pandangan orang sentiasa bermain di fikiran. Saya risau vokal tidak sampai dan macam-macam lagi. Tapi, saya terima setiap kritikan dan sehingga sekarang masih belajar memperbaiki vokal dan nyanyian. 

"Saya juga memang kuat gementar. Kalau 'show' biasa pun gementar, apatah lagi persembahan skala besar," katanya yang bekerjasama kali pertama dengan komposer Amylea Azizan dan MFMF untuk single Aku Terluka itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 9:06 PM