PELAKON Meerqeen. FOTO Hairul Anuar Rahim
PELAKON Meerqeen. FOTO Hairul Anuar Rahim
Georgie Joseph


Petaling Jaya: Menjadi antara pelakon yang paling digilai di Malaysia serta negara jiran ketika ini selepas membintangi drama Melur Untuk Firdaus, Meerqeen, 21, akui terbit kerisauan jika hal itu boleh menjadikan dia lupa diri.

Disebabkan itu, Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam enggan bangga diri dan hanyut dengan populariti diraihnya kerana kariernya masih setahun jagung.

"Jangkaan saya cerita itu akan meletup di Malaysia saja. Tak jangka pun akan pergi ke negara lain. Saya terkejut, gembira, bangga, tapi tak nak bangga diri.

"Saya takut lupa diri. Sebab hal ini saya tak jangka, tiba-tiba 'boom' terus. Jadi, memang takut kalau projek seterusnya boleh atau tidak jadi macam ini.

"Saya sudah meletakkan cerita ini sebagai penanda aras untuk diri sendiri. Kalau cerita lain tak boleh pergi, saya takut. Disebabkan itu saya tak nak bangga diri," katanya.

Selain ketampanan serta lakonan, kemesraan terjalin antaranya dengan heroin Melur Untuk Firdaus iaitu Anna Jobling menjadi bualan.

Bagaimanapun, keintiman mereka itu katanya strategi penting tapi mereka tiada sebarang hubungan serius.

"Saya dan Anna berbincang mengenainya sebelum masuk set penggambaran. Apa yang boleh dan tak boleh buat. Apa yang kami buat menerusi media sosial memberi impak juga sebenarnya untuk drama itu menjadi nombor satu. Saya dan Anna tiada apa-apa," katanya.

Turut meraih sambutan luar biasa daripada peminat Indonesia, Meerqeen tersentuh dengan sokongan mereka kerana buat pertama kali merasa perhatian sebegitu.

"Peminat di Malaysia pernah jumpa saya. Jadi interaksi mereka berbeza dengan peminat dari Indonesia. Sebab jelas, peminat sana belum pernah pun jumpa saya.

"Dengan perhatian begitu, barangkali mereka rasa lebih dekat dengan saya. Peminat dari sana sangat luar biasa. Tapi saya sukakannya kerana tak dapat di Malaysia," katanya.

Disebabkan fenomena dicetuskannya juga, lagu Meerqeen berjudul Menunggumu mendapat tontonan mendadak di YouTube.

Baginya, ia benar-benar di luar jangkaan.

"Dekat sini tak tular, tapi tular di sana. Mungkin lagu itu kena dengan cita rasa mereka kot, sebuah lagu seseorang yang ditinggalkan. Mungkin itulah sebab mereka suka.

"Memang seronok tapi terkejut sebenarnya sebab orang Malaysia pun tak dengar sangat lagu itu. Saya perasaan di TikTok pun orang sudah mula guna lagu itu untuk buat video," kata Meerqeen ditemui pada acara pengumuman perlantikannya menjadi duta jenama air mineral terkenal, Spritzer di sebuah pusat membeli-belah di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 3:34 PM