IMPAK lakonan Meerqeen dalam drama Melur Untuk Firdaus cetus fenomena.
IMPAK lakonan Meerqeen dalam drama Melur Untuk Firdaus cetus fenomena.
MEERQEEN enggan dibuai rasa bangga diri.
MEERQEEN enggan dibuai rasa bangga diri.
Georgie Joseph


MENYERLAH selepas membintangi drama Melur Untuk Firdaus, pelakon Meerqeen berazam terus pamerkan prestasi cemerlang dalam kerjaya seninya.

Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam, 21, akui terharu dengan populariti dikecapnya sekarang. Pada masa sama, bimbang dengan cabaran dan liku yang mendatang.

Justeru, dia perlu meletakkan penerimaan luar biasa terhadap Melur Untuk Firdaus itu sebagai penanda aras. Dia ingin buktikan masih banyak lagi dirinya mampu sajikan sebagai anak seni.

"Terbaharu dan syukur sangat apabila penerimaan terhadap drama itu melangkaui jangkaan awal saya. Memang saya yakin ia akan meninggalkan impak, tapi tak sangka terlalu luar biasa.

"Jujur terbit rasa ketakutan dalam pada teruja. Ini kerana, saya ada tanggungjawab besar untuk pastikan projek akan datang turut memberikan impak tertentu.

"Bagaimanapun, saya enggan menekan diri kerana tahu kerjaya dalam industri seni pasti ada pasang surut. Apa pun, saya mahu jadikan prestasi terkini penanda aras untuk projek sepenuhnya," katanya.

BERAZAM cuba kembang nama di Indonesia.
BERAZAM cuba kembang nama di Indonesia.

Dalam pada seronok diulit perhatian luar biasa sekarang, Meerqeen juga takkan sia-siakan pelbagai tawaran terbentang luas diterima. Sekarang masanya dia memanfaatkan waktu puncaknya.

Justeru, dia memasang angan-angan untuk cuba menembusi pasaran Indonesia pula. Apalagi kerana namanya kian menular dalam kalangan peminat dari negara seberang itu.

Sebagai permulaan, Meerqeen bakal berkunjung ke sana sekitar hujung bulan ini memenuhi program temu bual. Katanya, aktiviti kerjanya agak padat sepanjang di sana.

"Insya-Allah saya akan ke sana untuk terbabit program temu bual seperti Brownies. Saya jadikan peluang ini sebagai titik permulaan untuk mengembangkan nama di Indonesia kalau boleh.

"Bagaimanapun, lawatan akan datang itu cuma menghadiri program dan bukan membabitkan sebarang drama. Saya juga akan sibuk dengan lain-lain kerja termasuk bertemu peminat di sana," katanya.

Apa pun, Meerqeen tidak menafikan sentiasa terbuka jika ada peluang berlakon di sana pada masa depan. Ia termasuk sinetron yang sudah tentu memakan masa panjang penggambarannya untuk ratusan episod.

Dia tidak melihat komitmen itu masalah besar baginya kerana pernah menjayakan drama ratusan episod berjudul Angkara Cinta di sini sebelum ini. Bahkan, dia teringin merasa sendiri corak kerja produksi di sana.

MEERQEEN manfaat waktu puncak mahu mengembangkan nama di Indonesia.
MEERQEEN manfaat waktu puncak mahu mengembangkan nama di Indonesia.

"Saya sedia berkorban daripada segi masa jika perlu menetap di sana untuk terbabit drama. Itu peluang yang cukup besar kerana kita pun tahu bagaimana pasaran hiburan di sana.

"Cuma buat masa sekarang belum tahu bila lagi. Perancangan itu sudah ada, tapi saya tak mahu cakap apa-apa dulu. Lagipun, tawaran pun belum ada," katanya.

Rasa sangat dihargai

Paling ketara apabila nama Meerqeen semakin dikenali kini dalam kalangan peminat Indonesia gara-gara Melur Untuk Firdaus. Bahkan, kebanyakan peminat dari sana taasub sebaik mengenalinya.

Di media sosial termasuk Instagram, TikTok dan Twitter, namanya dilambung-lambung. Bukan setakat wajah tampannya, lakonan cemerlang dalam drama itu membuatkan ramai peminat terutama wanita jadi angau.

Berkongsi sambutan luar biasa itu, Meerqeen akui hatinya tersentuh dengan perhatian peminat. Buat pertama kalinya dia berasakan sambutan berbeza selepas lebih dikenali peminat Indonesia.

"Cara mereka memuja cukup berbeza. Ada yang sanggup terbang dari Indonesia untuk hadir bertemu saya di acara yang membabitkan saya di sini.

"Komen yang saya terima di media sosial juga cukup berbeza. Saya cuba sedaya upaya juga membalas komen mereka demi menghargai sokongan tak henti," katanya.

Meerqeen jelas terasa perbandingan sokongan itu dengan peminat tempatan. Menurutnya, interaksi ditunjukkan peminat Indonesia sedikit drastik menyebabkan dia bertambah rasa dihargai.

"Peminat di Malaysia pernah jumpa saya. Jadi, interaksi mereka berbeza dengan peminat dari Indonesia. Sebab jelas, peminat sana belum pernah pun jumpa saya.

"Dengan perhatian begitu, barangkali mereka rasa lebih dekat dengan saya. Peminat dari sana sangat luar biasa. Tapi, saya sukakannya kerana tak dapat di Malaysia," katanya.

Disebabkan fenomena dicetuskannya juga, lagu Meerqeen berjudul Menunggumu mendapat tontonan mendadak di YouTube. Baginya, ia benar-benar di luar jangkaan.

"Dekat sini tak tular, tapi tular di sana. Mungkin lagu itu kena dengan cita rasa mereka kot, sebuah lagu seseorang yang ditinggalkan. Mungkin itu sebab mereka suka. Memang seronok, tapi terkejut sebenarnya sebab orang Malaysia pun tak dengar sangat lagu itu. Saya perasaan di TikTok pun orang sudah mula guna lagu itu untuk buat video," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 6:20 AM