KISAH makcik Kemboja yang tukar di media sosial baru-baru ini.
KISAH makcik Kemboja yang tukar di media sosial baru-baru ini.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Sesiapapun yang berada dalam negara ini perlu menghormati semua bangsa dan adat masyarakat di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, setiap gurauan ada hadnya dan membuat perbandingan secara menghina tidak harus ada dalam kalangan bangsa Johor.

"Wanita itu (makcik Kemboja) tidak sensitif sebagai rakyat Malaysia. Kenapa guna cara perbandingan untuk bergurau.

"Pada saya bangsa Johor lebih sederhana dan tidak akan buat perkara yang boleh mengguris perasaan bangsa lain.

"Sebagai individu yang menetap, dia perlu belajar menghormati dan jadi bangsa Johor yang faham adat resam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Persatuan Penjaja, Peniaga, Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor, Zaini Atan berkata, peniaga atau usahawan tidak perlu bertindak melampau dengan menghina kaum atau bangsa, semata-mata untuk melariskan jualan.

Katanya, sikap merendah-rendah atau menghina adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam.

"Saya ada lihat video viral usahawan Kemboja itu, dia terlalu melampau dan merendah-rendahkan orang Melayu, tidak boleh masuk akal (tuduhan Melayu pemalas). Ramai saja Melayu yang kaya tetapi tidak menunjuk-nunjuk.

"Tindakan dia menghina itu tidak baik. Bukan saja hina Melayu, hina bangsa lain pun tidak boleh. Agama Islam dan Rasulullah SAW juga tidak mengajar kita untuk hina bangsa lain.

"Apa yang dikatakan itu adalah satu penghinaan yang tidak boleh diterima. Tetapi saya lihat wanita itu juga telah memohon maaf, jadi lebih elok kita maafkan," katanya.

Zaini yang juga Pengerusi Majlis Gabung NGO Melayu Johor berkata, isu bangsa adalah perkara sensitif.

"Tindakan wanita itu hanya akan merosakkan dan membunuh perniagaannya sendiri. Semoga menjadi pengajaran kepada dia dan peniaga lain," katanya.

Terdahulu tular di media sosial video berdurasi satu minit tujuh saat memaparkan wanita mengadakan penstriman langsung di sebuah gedung pakaian Muslimah.

Menerusi rakaman itu, wanita terbabit mengakui dirinya warga Kemboja yang sudah lama menetap di negara ini.

Dia mendakwa orang Kemboja sememangnya pandai dan rajin berniaga berbanding orang Melayu yang malas.

Namun di akhir rakaman wanita itu menyatakan dia hanya bergurau dan berkata orang Melayu atau Kemboja tiada beza.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 3:33 PM