AISHAH AF7
AISHAH AF7
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Kalau hanya nak harapkan pendapatan dari kerjaya seni mata-mata, tak makan saya."

Itu kata penyanyi yang juga bekas peserta Akademi Fantasia 7 (AF7), Aishah yang turut menjalankan kerja sambilan menjual produk penapis air sejak 2019.

Aishah, 31, atau nama sebenarnya Siti Aishah Bujang berkata, dia tidak malu untuk memilih kerjaya itu walaupun ada ketika menerima sindiran sinis daripada segelintir pihak.

"Saya jual produk itu sebab ia terbukti berjaya, jadi tak salah saya buat. Dalam masa sama ia menguji kebolehan saya menjual barang, bercakap, meyakinkan dan berdepan dengan orang. Bila jual ada yang ingat lagi. Ada juga beli sebab percaya kepada saya.

"Selama setahun iaitu pada 2019 saya buat sepenuh masa. Sekarang saya buat secara separuh masa. Tidak dinafikan, ramai tanya tak ada tawaran kerja ke sampai kena jual barang? Saya jawab, bukan tak ada 'job' tapi nak cuba benda lain.

"Mereka tak tahu orang yang buat kerja jual produk ini sebenarnya boleh menjana pendapatan sampingan. Diakui, apabila saya buat kerja ini, ia sangat membantu dari segi kewangan," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Aishah yang kini aktif menjadi pengacara dan terbaharu mengacarakan program Infiniteen musim kelima yang ditayangkan di TV Okey RTM berkata, dia tidak pernah berhasrat untuk berhenti menyanyi.

"Saya nak sangat menyanyi. Saya sayang dan takkan tinggalkan dunia nyanyian. Azam saya, nak ada satu atau dua lagu menjadi malar segar sampai orang tahu inilah Aishah AF7 dulu.

"Sebelum ini saya ada dua single tapi tidak berjaya memperkenalkan diri dan vokal saya. Pendek kata orang belum kenal saya. Saya nak orang kenal saya dengan nyanyian. Sebelum ini kalau buat persembahan pun saya menyanyikan lagu orang. Nak membuat kemunculan semula dengan lagu tak tahu lagi," katanya.

Aishah yang berasal dari Kuching, Sarawak dan tersingkir pada minggu keenam program AF7.

AF7 melahirkan ramai penyanyi terkenal tanah air selain juaranya iaitu Hafiz Suip, Akim Ahmad dan Zizi Kirana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 4:37 PM