Aishah.
Aishah.
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Datuk Aishah, 58, akan terus berpegang pada prinsip lantang bersuara di media sosial supaya tidak menjadi mangsa buli netizen.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin berkata, tindakannya melontarkan apa saja pandangan sering disalah tafsir segelintir pihak.

"Saya tak tahu nak kata bagaimana. Rasanya saya memang selalu lantang. Ramai orang salah dan menganggap lantang itu sebagai sombong. Namun anda lupa, menjadi lantang itu maknanya kita ada prinsip.

"Sebenarnya pada usia begini saya pun malas nak bising-bising. Namun, ada sesuatu yang disebabkan oleh prinsip saya, saya rasa tak boleh bagi muka. Jadi, saya tetap akan memperkatakan sesuatu.

"Walaupun berkemungkinan ada orang akan menghentam saya, saya tidak takut untuk menjadi satu-satunya orang yang berkata tidak.

"Hanya kerana semua orang melakukannya, tidak bermakna ia betul. Jika anda merasakan apa yang anda lakukan itu betul jadi pertahankannya. Saya tak kisah," katanya.

Aishah yang popular menerusi lagu Janji Manismu itu juga tidak sesekali pernah terkesan dengan sikap ditunjukkan netizen yang bersifat membenci.

"Tak adalah, kadang-kadang saya layan mereka yang memberikan komen sebab saya rasa macam anak-anak saya. Namun ada yang agak kurang ajar bahasanya, berani cakap dengan orang macam itu.

"Ikut hati hendak tampar untuk mengajar mereka mengenai adab. Pada saya, rasa amat malang sekali apabila masyarakat sudah jadi sebegini.

"Kalaulah kita boleh balik pada zaman tak ada media sosial, hidup tenang. Hantar saja surat pada saya macam zaman dulu-dulu.

"Saya datang pada era terdahulu dan kadang-kadang bila fikirkan balik, berasa di sini pada tahun ini juga adalah satu rahmat," katanya.

Minggu keempat All Stars Gegar Vaganza (ASGV) menyaksikan Aishah yang menyampaikan lagu Terlanjur Cinta duet bersama Vince Chong menjadi bintang ketiga yang tersingkir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 12:59 PM