AMY menjayakan konsert Search di Zepp KL.
AMY menjayakan konsert Search di Zepp KL.
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Gua mahu jadi 'star'!". Kata-kata vokalis kumpulan Search, Amy beberapa puluh tahun lalu kini menjadi kenyataan apabila nama kumpulan Rock legenda itu kekal relevan hingga hari ini.

Mempersembahkan lebih 20 lagu popular mereka di Konsert Search Endemik 2022 yang berlangsung di Zepp KL malam semalam, Amy berkongsi mengenai impiannya lebih 40 tahun lalu yang kini menjadi kenyataan.

"Kita punya mimpi yang besar. Apabila ditanya oleh sahabat dan kenalan saya di Johor mengenai impian saya, saya beritahu mereka, saya nak jadi 'star'.

"Kami (anggota kumpulan Search) dah lama kenal sejak 1978 dan selalu 'jamming' sama-sama. Hari ini, inilah akar Search," katanya.

Semalam, berlangsungnya malam kedua yang juga malam terakhir konsert dengan pelbagai emosi dan perasaan.

Ribuan penonton yang hadir kelihatan begitu teruja dengan 'energy' yang disalurkan dari pentas di samping sistem bunyi, susunan muzik, pencahayaan bahkan konsep konsert yang begitu santai dan berjalan dengan sangat lancar.

Persembahan Search dengan lantunan vokal mantap Amy tidak pernah mengecewakan dan setiap penonton yang hadir kelihatan terhibur serta bersama-sama menyanyikan lagu yang didendangkan.

Dalam usia penghujung 50-an dan ada yang sudah menjengah angka 60-an, mereka masih mampu memberikan persembahan bertenaga menerusi lagu-lagu hit antaranya Pelesit Kota, Nigina, Isabella, Fantasia Bulan Madu termasuklah dua single baharu, Endemik I dan Endemik II.

Yang pasti, konsert ini akan menjadi penanda aras buat artis-artis lain bukan sahaja dari sudut sambutan penonton, tetapi juga dari sudut persembahan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 7:31 PM