Amy ketika majlis pelancaran buku Kejora oleh Asyikin M di Brick Studio by Metal Bees, Sunway Damansara. FOTO AZIAH AZMEE
Amy ketika majlis pelancaran buku Kejora oleh Asyikin M di Brick Studio by Metal Bees, Sunway Damansara. FOTO AZIAH AZMEE
Syafil Syazwan Jefri


 

Petaling Jaya: Penyanyi kumpulan Search, Amy teruja dan puas berikutan menerima maklum balas sangat positif di Konsert Search Endemik 2022 yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad lalu walaupun persiapan hanya dibuat dalam tempoh sebulan setengah.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata, sepatutnya persediaan sesebuah konsert mengambil masa sehingga lebih enam bulan.

"Ia adalah dua malam yang penuh emosi. Persediaannya kami mulakan sejak hari raya keempat lalu dan pada ketika itu juga, kami baru sahaja selesai merakamkan dua single baharu.

"Biasanya, persediaan untuk konsert memakan masa lebih enam bulan. Tapi, walaupun ini memang kerja 'gila', saya berterima kasih kepada isteri saya, Nourish selaku Penerbit Eksekutif," katanya.

Amy berkata, keterujaannya itu juga membuatkan dia menangis pada keesokan harinya.

"Pada hari Isnin, saya menangis kegembiraan sepanjang hari dan saya berkongsi kegembiraan dengan semua yang terbabit dalam acara konsert itu.

"Konsert Search Endemik 2022 ini adalah satu acara yang berlangsung pada waktu yang tepat dengan judul yang tepat iaitu kita di fasa peralihan endemik.

"Endemik itu juga adalah idea daripada isteri saya selaku Penerbit Eksekutif. Dialah yang menguruskan segala persiapan dari awal hingga akhir dan memastikan semuanya teratur," katanya.

Dalam pada itu, Amy juga turut berkongsi kegembiraannya ketika bertemu dengan keluarga Allahyarham Yazit Ahmad yang juga bekas pemain dram Search. 

"Turut hadir pada hari pertama adalah isteri arwah iaitu Ramlah Mat dan anaknya, Shafiqa Nurlis. Kehadiran mereka juga membawa kegembiraan bukan sahaja kepada saya, bahkan semua anggota Search," katanya.

Terdahulu, Konsert Endemik Search berlangsung selama dua malam di Zepp Kuala Lumpur. Konsert yang berlangsung selama lebih dua jam dengan jumlah keseluruhan 45 lagu itu 'full house' selepas semua tiket habis terjual.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 7:27 PM