Sazali dan isterinya, Hamidah yang ditemui di kediaman mereka, baru-baru ini.
Sazali dan isterinya, Hamidah yang ditemui di kediaman mereka, baru-baru ini.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Saya memang tidak boleh bekerja lagi, lutut kanan dan pinggul patah dan masuk besi akibat kemalangan pada 2015 lalu. Isteri saya, Hamidah Hitam, 61, pun sakit, ada masalah tulang belakang," kata anak Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali, 64.

Sazali yang ditemui di kediamannya berkata, isterinya juga disarankan doktor agar membuat pembedahan tulang belakang segera, namun kos perubatan sebanyak puluhan ribu ringgit membuatkan mereka terpaksa melupakannya kerana tidak mampu.

"Saya sedih juga apabila membaca komen segelintir netizen yang menulis bermacam-macam mengenai saya. Kata saya meminta-minta. Saya hanya minta kerajaan melanjutkan tempoh kontrak royalti karya seni arwah bapa saya yang akan tamat agar ditambah untuk beberapa tahun lagi.

"Saya dah berusia, sakit dan tidak boleh bekerja lagi. Jadi, wang royalti ini penting buat saya kerana sebagai punca rezeki untuk bergantung hidup bersama isteri. Dengan duit royalti inilah kami guna untuk menampung kos perubatan selama ini dan sara hidup.

"Harga barang sekarang pun semakin mahal, kos sara hidup tinggi. Walaupun ada menerima bantuan bulanan daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM900, tapi untuk rawatan perubatan kami berdua tidak cukup," katanya kepada Harian Metro.

Sazali berkata, setiap kali dia dan isteri ke hospital di Cheras, Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan kesihatan, mereka perlu menggunakan pengangkutan awam seperti kereta grab untuk pergi dan balik ke rumah di Semenyih, Selangor.

"Tambang grab pun mahal. Sekarang semuanya memerlukan duit. Saya dan isteri juga, kami tidak dikurniakan anak. Jadi, sakit pening kami berdua saling menjaga sesama sendiri. Mujurlah ada rumah pusaka milik arwah mentua untuk kami berteduh," katanya berharap kerajaan dapat mencapai keputusan sebelum Ogos depan.

Tarikh 29 Mei ini adalah tarikh royalti P Ramlee akan tamat tempoh selepas 50 tahun pemergiannya sebagaimana mengikut kontrak perjanjian yang diurus Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).

Difahamkan bayaran royalti terakhir daripada MACP bakal Sazali terima pada Ogos depan, sekali setahun.

Selepas itu, sekiranya kerajaan tidak menyambung kontrak yang tamat, Sazali tidak akan mendapat bayaran royalti P Ramlee mulai tahun depan.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan luahan hati Sazali yang buntu apabila kontrak royalti karya bapanya yang diperoleh daripada MACP selama ini akan tamat tidak lama lagi.

Pada 29 Mei ini, genap 50 tahun P Ramlee meninggal dunia akibat sakit jantung, meninggalkan peminatnya dengan legasi tidak ternilai melalui karya seni filem dan lagu merentas zaman.

Sepanjang tempoh itu, mengikut Akta Hak Cipta 1987, royalti daripada karya lagu P Ramlee diagihkan kepada waris, iaitu isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma sehingga Biduanita Negara itu meninggal dunia pada 25 April 1983.

Royalti kemudian diagihkan kepada anak mereka, Allahyarham Nasir P Ramlee yang sepakat membahagikan perolehan diterima kepada beberapa waris lain.

Apabila Nasir meninggal dunia pada 23 November 2008, kontrak royalti yang diuruskan MACP sebagai badan pengutip royalti berdaftar itu diteruskan kepada waris lain termasuk Sazali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 12:14 PM