Calvin (kanan) pelakon filem KKN Di Desa Penari
Calvin (kanan) pelakon filem KKN Di Desa Penari
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon yang kini dikenali menerusi filem seram popular Indonesia, KKN Di Desa Penari, Calvin Jeremy menegaskan video penonton dirasuk di pawagam yang tular selepas menonton filem itu bukan untuk meraih publisiti.

Pelakon kelahiran Indonesia itu menyarankan kepada orang ramai yang ingin menonton filem berkenaan supaya tidak datang ke pawagam dalam keadaan minda kosong.

"Saya sendiri kurang pasti apa yang sedang terjadi. Namun apa yang dapat saya rungkaikan di sini adalah isu yang viral itu bukan sekadar untuk teknik pemasaran semata-mata.

"Apa yang sedang tular di media sosial ketika ini berlaku secara organik. Sebuah naskhah yang bagus akan sentiasa berjaya dan tidak memerlukan cara pemasaran sebegitu," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, tular video ada penonton dirasuk selepas menonton filem itu yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Menerusi video Tik Tok yang dikongsikan pemilik akaun Wan Kedah, seorang individu dilihat sedang menjerit seperti dirasuk ketika filem yang diadaptasikan kisah benar itu sedang ditayangkan di sebuah pawagam.

Ada segelintir netizen percaya dengan perkongsian video itu dan berpendapat filem berkenaan tidak harus ditonton oleh mereka yang sedang berada dalam keadaan tertekan dan berjiwa kosong.

Namun, ada juga yang menganggap perkongsian berkenaan sebagai satu jenaka daripada pemilik akaun. Malah, turut tular beberapa video dirasuk selepas menonton filem itu.

KKN Di Desa Penari meraih kejayaan luar biasa di bukan saja di Indonesia, malah di Malaysia dan Singapura.

Filem ini mendapat perhatian selepas didakwa ia adalah kisah benar daripada Twitter yang diceritakan oleh pemilik akaun @simpleman sekitar tahun 2019.

KKN Di Desa Penari dikatakan kisah benar yang terjadi kepada enam pelajar yang sedang menjalani tugasan universiti di sebuah perkampungan pada 2009.

Pelajar terbabit ialah Ayu, Nur, Widya, Wahyu, Bima dan Anton.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 4:27 PM