Hisyam bersama isteri, Mel (kanan) dan dua anak mereka.
Hisyam bersama isteri, Mel (kanan) dan dua anak mereka.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : Pelakon, Hisyam Hamid, 38, belum bersedia untuk mengulas dakwaan dia sudah bercerai dengan isterinya, Rosmawati Hanafi atau Mel seperti heboh diperkatakan ramai, sejak setahun lalu.

Hisyam berkata, setiap perkahwinan pasti akan berdepan dengan masalah dan ada pasang surutnya.

"Apa yang saya boleh katakan, sekarang ini saya belum bersedia nak beri komen perkara ini.

"Saya akan beri kenyataan bila sampai masanya kerana banyak faktor penting yang perlu diambil kira terutama untuk menjaga hati dan perasaan anak-anak," katanya.

Ditanya mengenai hubungan dengan Mel yang juga pengurusnya, Hisyam berkata, Mel masih menjadi pengurus dan mengatur kerjaya seninya seperti biasa.

"Hubungan kami sampai sekarang okay dan Mel masih menjadi pengurus saya. Kami juga keluar bersama dengan anak-anak pada Aidilfitri, baru-baru ini. Cuma ada perkara yang 'personal' (peribadi) yang saya belum boleh komen lagi," katanya.

Ditanya sama ada dia terkejut dengan spekulasi berkaitan rumah tangganya itu, Hisyam berkata, perkara itu sudah setahun diperkatakan orang.

"Saya faham sebagai 'public figure' semua orang nak tahu mengenai perkara itu (isu rumah tangga). Saya tak terkejut pun sebab perkara itu sudah lama diperkatakan.

"Saya faham ramai peminat yang sering bertanya mengenai perkara itu dan ramai juga yang turut mendoakan (rumah tangga) kami.

"Siapa yang faham, fahamlah. Saya juga sangat berterima kasih dengan rakan wartawan yang menghormati dan memahami dalam hal ini," katanya.

Hisham berkahwin dengan Rosmawati pada 2006. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak, Nurish Syameliah, 17, dan Haydeen, 15.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 11:04 AM