Penyanyi, Aina Abdul.
Penyanyi, Aina Abdul.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Tiket konsert Justin Bieber pun tak semahal ini."

Itu antara komen warganet mengenai harga tiket konsert A Night with Aina Abdul 2.0 di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 25 dan 26 Jun depan hingga mencecah RM1199.

Aina ketika dihubungi berkata, tiket untuk kedua-dua malam pada konsert itu sudah terjual lebih 80 peratus.

Konsert A Night with Aina Abdul 2.0
Konsert A Night with Aina Abdul 2.0

"Alhamdulillah, tiket untuk kedua-dua malam konsert A Night With Aina Abdul 2.0 Live at Istana Budaya pada Jun ini sudah 80 peratus terjual. Terima kasih kepada semua peminat yang menyokong saya.

"Apa boleh dikatakan, saya sedia untuk menjanjikan yang terbaik. Mereka yang hadir pada persembahan saya sebelum ini atau showcase 1.0 tahun lalu mesti tahu yang saya tak main-main dalam mengadakan persembahan, saya berikan 300 peratus.

"Sebagai seorang penyanyi yang menguruskan karier seni sendiri, menjadi impian besar saya untuk mengadakan konsert di lokasi berprestij seperti Istana Budaya dan apabila ia menjadi kenyataan, saya tidak menoleh ke belakang," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi lanjut mengenai konsert itu, Aina berkata persembahannya bakal diiringi barisan pemuzik profesional.

"Komposer dan penerbit muzik tersohor, Mac Chew dan Jenny Chin bakal memimpin konsert saya di samping nama-nama besar lain seperti Jamie Wilson, Wan Gigi, Andy Peterson, John Thomas, Pa'ang, Jae Sern dan ramai lagi.

"Saya juga bakal membuat persembahan dengan 15 strings, lima horn section dan 7 pieces band serta sistem audio terbaik. Busana, solekan, penata gaya, rekaan pentas, LED. Semuanya saya berikan yang terbaik.

"Biarpun berhadapan dengan cabaran seperti prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial di konsert yang hanya boleh memuatkan 75 peratus kapasiti penonton sahaja serta masih belum dapat bertemu dengan mana-mana penaja, saya ambil risiko besar untuk merealisasikan cita-cita ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 4:54 PM