Aina Abdul
Aina Abdul
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Aina Abdul mendedahkan bakal menyanyikan hampir 30 buah lagu menerusi konsert A Night With Aina Abdul 2.0 yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 25 dan 26 Jun ini.

Aina berkata, meskipun jumlah lagu yang dipersembahkan dikatakan terlalu banyak untuk sebuah konsert berdurasi dua jam, namun dia mahu memberikan kepuasan yang maksimum kepada peminat dan penonton.

"Selepas dua kali sesi latihan bersama band iringan yang diketuai Mac Chew dan Jenny Chin, saya baru sedar yang saya bakal mempersembahkan hampir 30 buah lagu pada malam konsert itu nanti.

"Jadi bermula daripada sekarang saya kena bersedia daripada aspek fizikal dan mental supaya kekal bertenaga untuk konsert yang akan dijayakan selama dua malam berturut," katanya.

Menurut Aina, keputusan untuk menambah jumlah lagu dibuat selepas mengambil kira pandangan orang ramai yang mendakwa konsert solonya itu dijual dengan harga tinggi.

"Awalnya saya hanya merancang untuk menyampaikan 15 buah lagu. Tetapi melihatkan kepada situasi harga tiket dan sambutan positif peminat yang menyokong, saya bakal sampaikan hampir 30 buah lagu.

"Saya janjikan susunan muzik terbaik serta pemuzik profesional yang bakal menemani saya di konsert itu nanti. Semua penonton yang bakal hadir akan mendapat hadiah istimewa dari Aina Abdul Entertainment," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 4:30 PM