Aina Abdul. FOTO NSTP/Asyraf Hamzah
Aina Abdul. FOTO NSTP/Asyraf Hamzah
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Tiada lagi A Night With Aina Abdul (ANWAA). Nama baru, nama berbeza."

Demikian kata penyanyi terkenal Aina Abdul yang nekad untuk tidak lagi menggunakan nama A Night With Aina Abdul (ANWAA) pada konsert akan datang.

Aina, 31, atau nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani berkata, keputusan itu dibuat selepas melalui pengalaman yang disifatkan satu pengajaran besar dan tidak boleh dilupakan.

"Apa saja konsert yang saya buat atas nama ANWAA ini, datang dengan 'harga'. Orang nampak kejayaan ANWAA 1.0, 2.0, 3.0, dan di Singapura, orang nampak betapa gahnya ANWAA kan. Orang beli tiket dan mereka berhabis banyak.

"Macam saya cakap, ia datang dengan 'harga'. Itu adalah harga yang perlu saya tanggung. Kebahagiaan yang saya dapat daripada ANWAA adalah peminat saya, itu saja. Peminat saya adalah penguat saya.

"Tahun ini, ada beberapa pihak datang nak buat ANWAA 4.0 pula, saya cakap tidak, saya tidak mahu lagi dah," katanya.

Pendedahan itu dibuat Aina ketika diundang sebagai tetamu untuk program SYOK Podcast Confession Bilik Gelap.

Menurut Aina yang popular menerusi lagu Terus Hidup, apa yang dilalui diharap dapat menjadi pengajaran yang sama kepada penyanyi muda lain yang benar-benar berjuang atas nama seni.

"Kadang orang macam merendahkan anak seni ini. Kita tahu menyanyi, kita tahu bahagian seni, tapi kita tak tahu soal bisnes. Jadi orang macam 'ayam-ayamkan' kita. Bila kita tidak ada pasukan yang 'firm' di depan, lagi menjadi masalah.

"Jadi, saya harap ini juga menghantar mesej untuk semua penyanyi muda lain, yang mempunyai semangat yang tinggi dalam bidang ini. Adik adik semua kena bersedia dengan pertaruhan orang sebegini.

"Orang nak ambil sesuatu daripada anda, boleh, dan sebab itu saya buat ANWAA 1.0 pada mulanya. Saya nak bersama pasukan saya. Saya nak sangat bagi peluang bersama-sama. Apabila kita mula dengan ANWAA 1.0, ia dijalankan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketika itu peluang pekerjaan sangat tipis. Saya punya pasukan produksi semua adalah bermula dari kosong. Kami sama-sama mencari pasukan yang perlu ada dalam sebuah konsert.

"Kadang kita saja yang rasa kebersamaan itu dan semangat kekeluargaan itu, tapi orang lain tidak. Itu pengajaran terbesar saya pada 2023 untuk memilih individu berada dalam lingkungan saya selepas ini. Saya harap tidak ada siapa yang marah saya selepas ini, sebab saya bercakap yang benar," katanya dalam penuh sebak.

Untuk rekod, Aina pernah menjayakan ANWAA 1.0 di Bsync Live Kuala Lumpur, ANWAA 2.0 di Panggung Sari, Istana Budaya, ANWAA 3.0 di Axiata Arena Bukit Jalil dan ANWAA Live in Singapore.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 1:04 PM