ALI (kanan) bersama isterinya menerima sumbangan dari pihak TV Alhijrah ketika Lawatan di Pangsapuri Bayu Suria, Taman Impian Ehsan, Seri Kembangan. FOTO Azhar Ramli
ALI (kanan) bersama isterinya menerima sumbangan dari pihak TV Alhijrah ketika Lawatan di Pangsapuri Bayu Suria, Taman Impian Ehsan, Seri Kembangan. FOTO Azhar Ramli
Ridzuan Abdul Rahman

Seri Kembangan: Penyanyi Ali XPDC, 53, yang kini berehat di rumah selepas dibenarkan keluar dari Hospital Rehabilitasi Cheras, Jumaat lalu bersyukur kerana tidak putus-putus menerima sumbangan berbentuk wang ringgit dan barangan keperluan.

Isterinya, Sharifah Azwana Syed Joned, 50, yang menemani Ali ketika ditemui berkata, rezeki suaminya murah kerana rajin bersedekah suatu ketika dulu.

"Ia adalah rezeki abang Ali kerana dulu pun dia banyak tolong orang. Sekarang benda itu berbalik kepadanya pula. Itu yang saya nampak. Dulu saya bising kerana kalau dia derma memang banyak, tapi dia jawab bila dia derma lagi Allah akan bantu.

"Waktu itu tak nampak (kelebihan menderma) tapi masa ini baru nampak. Lepas seorang, seorang tampil untuk bantu," katanya yang sebak apabila suaminya dilihat mengalirkan air mata.

Menurutnya, kadang-kadang mereka sendiri tidak tahu dari mana penderma terbabit datang dan mereka mendakwa peminat Ali dan XPDC.

"Saya kata pada abang Ali, murah rezeki abang. Dia memang kalau nampak orang susah pasti nak bantu. Itu memang perangainya.

"Kami amat berterima kasih kepada kawan-kawan artis 90-an yang buat program amal untuk bantu abang Ali, Persatuan Muafakat Darul Ehsan (Pakat) yang menyumbang kerusi roda dan wang, buskers dan peminat yang turut bantu.

"Tak ketinggalan ialah Imam Muda Asyraf dan ustaz-ustaz lain yang bantu kami menerusi pelbagai cara masing-masing," katanya.

Sharifah Azwana berkata, mereka tidak menghalang sekiranya mana-mana pihak memberikan bantuan berterusan terhadap suaminya.

"Abang Ali masih perlukan sumbangan susu dan lampin pakai buang. Satu hari pakai satu beg. Kos ini agak mahal. Buat sementara ini kami kena sewa rumah di sini kerana perlu ulang alik untuk rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras. Kalau berulang alik dari Rantau Panjang, Klang, kosnya tinggi.

"Sewa rumah RM850 sebulan tapi syukurlah Zakat Selangor bayar RM800 sebulan dan kami hanya tambah RM50. Anak-anak kami pun berniaga kuih-muih di pekan Sungai Besi sekarang untuk bantu cari pendapatan," katanya yang gembira perubahan kesihatan suaminya semakin baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 12:22 PM