Ali bersama kumpulan XPDC
Ali bersama kumpulan XPDC
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Enam bulan berehat akibat serangan angin ahmar, penyanyi Ali XPDC kembali menjalani latihan bersama kumpulan terbabit semalam.

Perkongsian sesi latihan ini menerusi Facebook Official XPDC mendapat reaksi positif daripada peminat setia mereka.

Ramai yang mengalu-alukan penyertaan semula Ali dalam XPDC seterusnya mahu melihat mereka kembali beraksi di atas pentas.

Ali ketika dihubungi berkata, dia yang sebenarnya mengajak anggota lain untuk 'jamming' kerana mahu menguji kemampuan vokalnya.

"Saya rasa agak bosan juga dah lama duduk diam begini dan ajak mereka berlatih. Namun mereka seakan tak yakin saya boleh melakukannya.

"Alhamdulillah... saya buktikan berjaya menyanyi lebih satu jam. Semua berjalan lancar. Namun dah lama tak jamming setakat senget-senget itu biasalah. Kena selalu praktis untuk kembali normal.

"Setakat ini untuk menyanyi memang boleh. Tapi saya masih ada masalah masa bercakap kerana agak lambat untuk memberi reaksi jawapan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia dan anggota lain perlu memantapkan diri sepenuhnya sebelum turun beraksi di atas pentas bertemu peminat.

"Setakat ini saya hanya menyanyi di majlis-majlis perkongsian ilmu. Bolehlah untuk asah vokal juga selain cari rezeki.

"Saya masih buat rawatan fisioterapi di Hospital Rehabilitasi Cheras sampai sekarang. Sebelum ini sekali seminggu dan seterusnya dua minggu sekali," katanya.

Sementara itu, pemain gitar XPDC iaitu Izo melahirkan perasaan kagum dengan proses pemulihan Ali yang agak pantas.

"Memang nampak Ali okey boleh menyanyi. Terperanjat kami dibuatnya.

"Boleh dikatakan Ali 98 peratus dah pulih. Apabila dia ajak 'jamming' kami pun pergi studio Eddie. Tujuan kami nak sokong dia sahaja. Tengok-tengok dia dah okey.

"Tak dinafikan sebelum ini ada tawaran show dan tanya pasal Ali. Dia belum pulih jadi kami jawab mungkin pakai penyanyi lain. Tapi biasanya orang nak dia juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 3:38 PM