Bella (dua dari kiri) bersama Aliff (kiri) dan keluarga di Makkah.
Bella (dua dari kiri) bersama Aliff (kiri) dan keluarga di Makkah.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Bella Astillah, 28, yang baharu pulang mengerjakan umrah buat pertama kali menyifatkan pengalaman itu hadiah hari jadi paling bermakna buat dia dan suami, Aliff Aziz, 31, untuk tahun ini.

Bella mengakui sangat teruja kerana akhirnya dapat meluangkan masa dan menjejakkan kaki ke Makkah, apatah lagi ditemani suami serta ibu bapa tercinta.

"Pengalaman itu adalah hadiah hari jadi paling bermakna terutama buat saya dan suami. Ini kerana tarikh hari jadi Aliff adalah pada Februari manakala saya pula pada Mac.

"Teruja dan syukur sangat dapat meluangkan masa menikmati setiap saat di sana. Paling bersyukur apabila segala urusan kami dipermudahkan walaupun masih banyak peraturan keselamatan perlu dipatuhi," katanya.

Bella berkata, dia juga tidak putus berdoa selama 12 hari di sana. Antara doanya adalah supaya keluarga sentiasa dilindungi selain perkahwinannya dengan Aliff terus berkekalan.

"Terlalu banyak sangat doa saya terutama dalam keadaan sekarang, saya nak keluarga berada dalam keadaan sihat-walafiat. Tidak kisahlah yang di Sabah atau di Kuala Lumpur terutama anak-anak.

"Saya juga berdoa semoga rumah tangga saya kekal hingga ke jannah, Insya-Allah. Itulah antara doa-doa yang saya hajatkan di sana," katanya.

Bella juga tidak menafikan dia bimbang apabila penularan Covid-19 masih berleluasa ketika ini. Bagaimanapun, Aliff banyak menenangkan dirinya supaya tidak terlalu risau.

"Ibu bapa saya sudah berusia, jadi memang risau jika terkena jangkitan sebab di sana ramai jemaah dari seluruh dunia. Bagaimanapun Aliff sangat positif.

"Katanya di mana pun kita berada virus Covid-19 tetap boleh berjangkit. Soal itu kami hanya berserah kepada Allah. Alhamdulillah tiada sebarang gejala dan kami semua sihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 11:59 AM