BELLA Astillah pada Konsert Famili Duo minggu ke-5 di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral. FOTO Asyraf Hamzah
BELLA Astillah pada Konsert Famili Duo minggu ke-5 di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral. FOTO Asyraf Hamzah
Syafil Syazwan Jefri


Shah Alam: Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah bimbang keghairahan segelintir netizen yang tidak habis-habis memperkatakan gosip kecurangan suaminya, Aliff Aziz bertukar menjadi doa.

Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah berkata, mereka seharusnya mengeluarkan komen positif dan mendoakan hal yang baik-baik buat suaminya.

"Bila ada orang cakap benda tak baik pasal Aliff, saya takut ia menjadi satu doa sebab percakapan itu satu doa. Saya sangat berharap tiada percakapan yang tidak baik diberikan.

"Aliff sedang berubah menjadi insan yang lebih baik dan saya juga sama mahu berubah menjadi lebih baik," katanya.

Bella tidak menafikan gosip mengenai suaminya yang dikatakan sekali lagi berlaku curang turut memberi kesan kepada mentalnya yang ketika ini menyertai program Famili Duo 2.

"Sebagai manusia sudah tentu saya terganggu, lebih-lebih lagi saya wanita. Saya juga kasihan kepada pasangan saya dalam program ini, Wani Kayrie. Kalau saya tak fokus, takut ia mengganggu keserasian kami.

"Saya selalu tolak tepi perkara itu. Saya pergi ke 'meeting' (mesyuarat) pun saya bawa anak-anak untuk alih perhatian," katanya.

Bella juga kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang memanipulasi kandungan video lama dan disebarkan sebagai fitnah.

Dia berkata, fitnah yang disebarkan itu memberi impak kepada keluarganya serta keluarga Aliff.

"Saya faham ada segelintir pihak yang prihatin terhadap saya dan ambil tahu serta risau saya disakiti. Saya hargai semua yang menghantar Direct Message (DM).

"Namun, bila keluar perkara yang tidak benar dan disebarkan di Facebook, saya kecewa. Ini kerana Facebook adalah platform besar, ada keluarga di Sabah dan Singapura yang mungkin membaca.

"Ibu bapa Aliff di Singapura juga masih bekerja, jadi ramai bertanya pada mereka kenapa Aliff buat begitu pada saya.

"Saya tak marah tapi saya harap ia jadi iktibar buat semua. Saya kasihan pada keluarga dan kawan-kawan terutamanya ibu bapa kami. Kasihan orang keluar bertanya pada mereka sedangkan cerita itu tak benar," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, muncul satu video dan beberapa gambar memaparkan individu yang didakwa Aliff bersama seorang wanita di kelab malam.

Namun, Bella sebelum ini sudah menjelaskan bahawa itu adalah situasi ketika Aliff sedang menjalani penggambaran drama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 11:51 AM