Rashidi Ishak
Rashidi Ishak
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Selepas dijangkiti Covid-19 pada Disember lalu, pelakon popular, Rashidi Ishak, 48, paranoid menjalani rutin harian ketika ini.

Rashidi mendapat jangkitan itu di lokasi penggambaran drama bersiri Tetuan Ang & Rahimin.

Rashidi berkata, selepas tamat kuarantin dan kembali ke lokasi penggambaran, dia dapat merasakan gejala 'long Covid'.

"Saya dapat rasakan badan cepat penat berbanding sebelum dijangkiti Covid-19. Selepas tiga hingga empat jam, tenaga saya sudah tiada.

"Saya juga dapat rasakan tenaga lontaran suara juga berbeza berbanding sebelum itu. Itu antara kesan dan impak Covid-19 yang saya rasakan. Tidak tahu dari mana punca atau dijangkiti dari mana, kita hanya mampu cuba berhati-hati dan tawakal," katanya.

Pada Disember lalu, Rashidi dibawa ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Nilai, Negeri Sembilan dalam keadaan tubuh dan kepalanya yang sakit.

Ketika itu, pihak produksi drama berkenaan turut menghantar stok makanan dan alat oxymeter supaya dia boleh memeriksa kadar oksigen ketika masih positif virus itu.

Selain Rashidi, Daiyan Trisha yang turut membintangi drama bersiri itu turut dijangkiti Covid-19 dalam waktu yang sama.

Selain Rashidi dan Daiyan, drama 20 episod arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin dan Wan Alauddin itu turut dibintangi Ben Amir, Anita Baharom, Ellyas Abdullah, Shahril Sarjen, Iman Corrine Adrienne, Samsul Ahmad dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 1:49 PM