SHAKILA bersama anaknya dan perkongsian dibuat di Instagram.
SHAKILA bersama anaknya dan perkongsian dibuat di Instagram.

Kuala Lumpur: Pelakon Shakila Khoriri, 32, kesal apabila terdapat segelintir pihak mempermainkan namanya selepas bercerai dengan bekas suami, Fizi Ali pada Disember, tahun lalu.

Terbaharu, Shakila terguris apabila seorang penyampai Suria FM, mengeluarkan dialog berbunyi 'sebab Fizi kahwin dengan orang yang salah ke?' dalam segmen sketsa pagi bersama PU Azman yang turut dipertikaikan oleh pendengar. 

"Sebenarnya bukan satu, dua orang yang beritahu macam-macam dekat saya, tapi sebelum ini saya diam. Biarkan saja orang mempersenda dan campur tangan urusan peribadi saya. 

"Saya biarkan bukan berhari-hari, malah berbulan-bulan orang menuding jari sana sini. Saya buat pekak telinga dan butakan mata kerana tak nak besarkan isu.

"Semakin saya cuba perbetulkan diri untuk jadi lebih baik, semakin orang galak pijak kepala. Saya bukanlah jenis yang mencari apatah lagi, nak siasat sampai ke lubang cacing pasal sesuatu kerana yakin Allah akan tunjuk pada saya apa sepatutnya saya tahu," tulisnya di Instagram.

Menurut Shakila, dia bagaimanapun kurang pasti sebab sebenar penyampai terbabit sanggup mengeluarkan dialog sebegitu.

"Mungkin dari penyampaian tuan badan atau dari gerak rasa sendiri. Kisah saya dah berakhir. Dan saya secara peribadi tidak menyalahkan pasangan saya. Tapi jangan cuba buat saya untuk sentuh apa yang tak sepatutnya dan akan membuka aib sesiapa. Cukup. 

"Saya tak boleh nak komen panjang pasal isu ini. Mungkin Suria Malaysia boleh buat perbincangan kecil dengan penyampai berkenaan. Atau mungkin boleh terangkan maksud penyampai terbabit," katanya. 

Shakilla berkata, dia kini cuba memperbaiki diri dan tidak perlu tahu atau mendengar perkara-perkara negatif sebegitu lagi. 

"Saya harap ini yang terakhir sebab saya takkan teragak-agak untuk ambil tindakan dari percakapan yang tiada tapisan dan berunsur fitnah atau memalukan," katanya. 

Shakilla berkahwin dengan Fizi pada 18 Februari 2018 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ameena Sofia kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 8:23 PM