GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Alias Abd Rani


Muar: Gara-gara terpengaruh dengan pulang lumayan dalam tempoh singkat, seorang penganggur berputih mata apabila duit simpanan berjumlah RM111,000 lesap diperdaya skim pelaburan saham tidak wujud.

Kejadian bermula apabila mangsa berusia 57 tahun tertarik iklan ditawarkan individu yang menjanjikan keuntungan sebanyak 20 peratus dalam tempoh dua bulan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata mangsa turut diumpan dengan iklan kejayaan berkaitan keuntungan diperoleh melalui pelaburan itu yang menyebabkan dia berminat untuk menyertainya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya memberikan maklumat peribadi kepada individu terbabit bagi tujuan pendaftaran serta pembayaran keuntungan pelaburan.

"Mangsa membuat beberapa transaksi sejak Mac hingga 24 Jun lalu berjumlah RM111,000 ke dalam lima akaun yang didaftarkan atas nama syarikat berlainan untuk membuat pelaburan seperti diarahkan suspek.

"Bagaimanapun, suspek sekali lagi mengarahkan mangsa menambah lagi pelaburan namun curiga dengan menolak arahan seperti dikehendaki susupek," katanya dalam kenyataan.

Raiz Mukhliz berkata, sehingga laporan polis dibuat, mangsa belum menerima sebarang keuntungan pelaburan seperti dijanjikan suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai sentiasa berwaspada terutama membabitkan transaksi kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 5:16 PM