NOVA (tengah) turut menekankan aspek kekuatan mental. FOTO ASYRAF HAMZAH
NOVA (tengah) turut menekankan aspek kekuatan mental. FOTO ASYRAF HAMZAH
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dilihat mempunyai potensi cukup besar untuk mendapatkan pingat di Olimpik Paris yang akan membuka tirai ada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkata, beliau melihat pasangan negara itu begitu gigih meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa dan mengurangkan segala kesilapan yang sering dilakukan di dalam gelanggang.

Jelasnya, Tang Jie antara individu yang begitu gigih menjalani latihan dan cuba membantu pasangannya mendapatkan keserasian lebih jitu di dalam gelanggang.

"Kalau dilihat dari persediaan permainan mereka, saya sebenarnya sangat yakin kerana mereka sangat bersemangat ingin menang dari segi latihan, kemahuan yang sangat besar. Saya rasa mereka paling bagus dalam persediaan dan tidak banyak menolak demi meningkatkan prestasi.

"Mudah-mudahan mereka dapat memberikan aksi terbaik berdasarkan apa yang kita lakukan di dalam latihan dan mengikut perancangan untuk menang di sana (Olimpik Paris).

"Tang Jie di dalam latihan memang luar biasa. Tidak penat dan apa sahaja beri (jadual latihan), dia akan buat sebaik mungkin cuma kadang-kala mereka bermain tidak biasa normal (seperti biasa)," katanya.

Selain itu, aspek kekuatan mental juga diberikan penekanan agar kedua-dua pemain itu lebih bersedia dan tidak melakukan kesalahan mudah sehingga memberi kelebihan kepada pasukan lawan.

"Paling penting adalah persediaan mental. Kalau persediaan mental bagus, saya rasa mereka ada modal dan harapan sebab mereka punya permainan banyak orang (pihak lawan) tak suka kerana salah satunya permainan laju. Jadi, mental mereka perlu lebih bersedia.

"Kita perlu tahu di olimpik apa-apa boleh terjadi. Mereka ada peluang, mungkin dari segi psikologi kita perlu beritahu mereka untuk tingkatkan keyakinan diri. Anggap ini olimpik terakhir buat Tang Jie-Ee Wei dan kita di barisan jurulatih akan bantu dari belakang untuk memastikan mereka berjaya," kata Nova.

Untuk rekod, Tan Jie-Ee Wei digandingkan bermula Disember 2022 dan mereka menunjukkan peningkatan begitu baik sehingga berjaya layak ke Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China tahun lepas dan beraksi di pentas Olimpik Paris.

Pencapaian terbaik mereka adalah muncul juara Masters Orleans dan Terbuka Taiwan pada tahun lepas manakala tahun ini, Tang Jie-Ee Wei berjaya ke final sebanyak dua kali di Masters Thailand dan Terbuka Switzerland.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 5:28 PM