Badrul Muhayat.
Badrul Muhayat.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Polis sedang buat siasatan dan sudah panggil bapa mentua saya untuk rakam keterangan selepas saya dapat anak kembali. Tindakan seterusnya, saya kena failkan untuk dapatkan hak penjagaan anak seperti nasihat daripada peguam saya," kata Julia Daud, 40, bekas isteri pelakon Badrul Muhayat mengulas kejadian dua anaknya yang didakwa diculik pelakon terbabit pada 25 Disember lalu.

Julia berkata, dia juga berkemungkinan akan menjaga kedua-dua anaknya iaitu Nur Delisha, 14, dan Badrul Hidayat, 11, sepenuh masa selepas ini berbanding sebelumnya bersekolah di Gombak, Selangor.

"Mereka bersekolah di bawah pembiayaan bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Dia (Badrul) pun tak bagi nafkah jadi saya kenalah minta bantuan. MAIWP yang berikan bantuan segalanya. Ini hanya sekolah biasa tetapi anak saya diberikan penginapan.

"Silap saya sendiri kerana tak buat tuntutan anak sebelum ini kerana tak tahu prosedur-prosedur tuntutan. Saya dapat nasihat daripada peguam yang setiap fail tuntutan lain maknanya," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya mengemukakan tuntutan cerai terlebih dahulu sebelum memikirkan perkara lain.

"Saya juga berdepan masalah kesihatan yang serius pada 2017 membuatkan perkara ini tergantung. Pada 2018 saya berkahwin dengan suami baharu dan berpindah ke Hulu Bernam, Selangor. Maknanya saya tak dapat teruskan tuntutan lagi. Alamat pun dah bertukar. Benda ini juga tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Julia berkata, Badrul tidak pernah dilarang atau dihalang melihat anak-anaknya sebelum ini.

"Namun, dia jadi panas dan menggelabah baru-baru ini apabila saya tuntut nafkah anak-anak. Sebelum ini dia pernah ambil mereka tiga minggu untuk bersamanya dan saya tak pernah halang. Mengenai kejadian baru-baru ini, kami memang dah rancang nak buat majlis dan minta anak-anak ikut sama ke Taiping selepas itu tapi dia bertegas juga nak ambil mereka dan tinggikan suara," katanya.

Julia berkata, berlaku kekecohan di luar rumah bapa mentuanya dan dia menasihatkan supaya Julia menyerahkan anaknya kepada Badrul.

"Bukanlah saya tak bagi. Cuma hari itu sahaja saya tak beri dia ambil anak kerana kami memang ada majlis. Apa yang saya buat laporan polis, itulah yang terjadi. Tiada satu penambahan cerita pun atau saya nak aibkan dia," katanya.

Terdahulu, kes itu selesai apabila Badrul menyerahkan kedua-dua anaknya kepada Julia dan suaminya yang turut berada di Balai Polis Slim River lewat tengah malam Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 5:23 PM