Sufie membantu mangsa banjir.
Sufie membantu mangsa banjir.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Sufie Rashid bersama pasukan bantuan yang dikelolanya hari ini masuk hari ketujuh turun padang untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di beberapa lokasi di Selangor.

Penyanyi asal Singapura itu ketika dihubungi berkata, bencana banjir yang berlaku benar-benar membuka matanya.

"Di Singapura, saya tak pernah melalui pengalaman banjir. Kalau ada pun, banjir yang biasa dan tidaklah teruk. Apabila melihat sendiri bencana banjir yang berlaku, ia banyak membuka mata saya.

"Pada awalnya, saya dan isteri ingin turun ke lokasi yang terjejas untuk menghulurkan sumbangan makanan dan ubat-ubatan. Namun, bila sudah tengok sendiri situasi di sana, saya rasa saya perlu bantu lebih dari itu," katanya kepada Harian Metro.

Dia yang turut disertai isteri, Nurulain Md Yusof dan pasukannya membawa empat bot dari beberapa lokasi untuk membawa masuk bekalan makanan, ubat serta membantu kerja-kerja menyelamat.

"Pada hari pertama, kami ke Hulu Langat yang memang sangat terjejas teruk. Di sana, ada tanah runtuh, pokok tumbang dan memerlukan kami untuk meredah hutan.

"Alhamdulillah, pasukan saya dapat empat bot dari Port Dickson, Taiping, Puchong dan Shah Alam. Jadi, dapatlah kami bantu membawa bekalan makanan dan ubat dengan mudah ke kawasan terjejas.

"Namun, ada kawasan yang bot tak dapat masuk seperti di Taman Sri Muda, Shah Alam kerana banyak kereta tenggelam dan bot tersangkut," katanya.

Sufie juga bersyukur kerana kerja-kerja bantuan yang dilakukannya turut disertai ramai individu yang ingin membantu.

"Pasukan saya ada hampir 30 orang. Terima kasih kepada mereka semua yang membantu menggerakkan misi ini. Terima kasih juga kepada penyumbang-penyumbang dari Malaysia dan Singapura yang membantu.

"Dari situ, kami dapat membeli generator untuk membekalkan elektrik, tandas bergerak, pam air dan 'water jet' di Hulu Langat.

"Insya-Allah, pada Isnin atau Selasa ini, kami akan bergerak ke Jelebu, Negeri Sembilan kerana ada rakan saya maklumkan bahawa kawasan itu turut terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 6:50 PM