Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Ini masanya untuk kami balas balik pertolongan yang diterima ketika menjadi mangsa bah kuning tujuh tahun lalu," kata Che Norhayati Mohamed.

Che Norhayati yang juga pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang kebetulan berada di Selangor sejak dua minggu lalu segera mengerahkan ahlinya menghantar bantuan di empat lokasi di negeri itu walau terpaksa meredah banjir.

Bersama enam ahli NGOnya, hari ini memasuki hari kelima mereka menghantar bantuan iaitu ke Taman Langat Murni, Kampung Boundry, Bukit Changgung dan Labuhan Dagang.

Norhayati berkata, pengalaman buruk menjadi mangsa banjir di Kampung Dusun Nyiur, Kuala Krai meninggalkan tragedi buatnya sekeluarga apabila kediaman mereka hanyut dan tinggal sehelai sepinggang.

"Hanya Tuhan yang tahu perasaan kami ketika itu, segalanya bercampur baur dan bukan sahaja tinggal sehelai sepinggang, kami juga terpaksa berteduh di khemah hampir setahun sebelum sebelum NGO dari Selangor datang membina rumah secara percuma.

"Tidak cukup dengan itu, banyak bantuan makanan dan wang ringgit yang didermakan dari pelbagai NGO dan orang perseorangan dari luar Kelantan yang tiba ketika itu.

"Walaupun merasakan budi mereka tidak terbalas tapi saya tetap ingin membalasnya dan waktu mereka dilanda musibah seperti inilah waktu yang tepat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Che Norhayati berkata, tertubuhnya NGO itu juga disebabkan kesukarannya serta ramai mangsa lain untuk bangkit kembali selepas ditimpa musibah bah kuning tujuh tahun lalu yang ada sebahagiannya tercicir daripada menerima bantuan daripada pihak berwajib.

Untuk gerak kerjanya dalam membantu mangsa banjir di Selangor, mereka tidak hanya menumpukan kepada makanan sahaja sebaliknya keperluan lain terutama yang tinggal sehelai sepinggang contohnya tilam nipis, selimut, tikar, ubatan, bantal, dapur memasak, ubat nyamuk serta pinggan dan gelas plastik.

Menurutnya lagi, segala dana yang digunakan adalah daripada tabung pertubuhannya yang sedia ada selain daripada sumbangan yang bertali arus diterima daripada ramai penyumbang sebaik mengetahui gerak kerja yang dilakukannya kini.

"Setakat hari ini sudah lebih 70 keluarga kami sudah serahkan bantuan secara terus ke rumah masing-masing dan kami memilih kawasan yang agak terpinggir dan kurang menerima bantuan.

"Memandangkan dana masih lagi ada dan diterima, gerak kerja ini akan diteruskan bergantung kepada keperluan mangsa.

"Setakat ini sahaja usaha yang mampu saya balas kerana saya dimaklumkan ramai lagi wakil dari negeri Kelantan terutama dari Kuala Krai yang turut sama turun padang membantu mangsa banjir di Selangor ini yang jelas mezahirkan rasa terima kasih atas bantuan yang diterima suatu ketika dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 1:31 PM
CHE Norhayati (dua kiri) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di empat kawasan di Selangor. FOTO ihsan Che Norhayati Mohamed
CHE Norhayati (dua kiri) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di empat kawasan di Selangor. FOTO ihsan Che Norhayati Mohamed