Nurul Hidayah Bahaudin


Hulu Langat: Lebih 400 rumah di 10 kampung di daerah ini dilanda banjir akibat hujan lebat awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn Zafuruddin Mohd Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 4.25 pagi.

"Seramai sembilan anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi, dan mendapati Kampung Dusun Tua sudah dilanda banjir.

"Air banjir turut melimpah ke jalan utama menyebabkan dua rumah dinaiki air dan 12 penghuni di dua rumah berkenaan dipindahkan ke tempat selamat menggunakan bot," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zafiruddin berkata, pihaknya turut dimaklumkan lebih 400 rumah terjejas akibat kejadian itu.

"Ia turut membabitkan Kampung Batu 16, Kampung Sungai Serai, Kampung Kuala Perdik, Kampung Batu 14, Kampung Batu 18, Kampung Batu 20 Sungai Lui, Kampung Batu 17, Kampung Dusun Nanding, Kampung Batu 13 dan Kampung Lubuk Kelubi.

"Difahamkan ketinggian air dianggarkan mencecah 0.45 meter dan kini ada tanda menunjukkan air semakin naik," katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa membuka satu pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Taman Sri Nanding, namun tidak dapat dipastikan jumlah mangsa yang dipindahkan.

"Ketika ini, kami sedang menjalankan kerja-kerja pemantauan dan pemindahan penduduk yang terjejas akibat banjir.

"Operasi ini turut membabitkan 39 pegawai dan anggota bersama sembilan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang, BBP Kajang dan BBP Serdang selain bantuan daripada Pejabat Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor," katanya.

Menurutnya, beberapa jalan termasuk Jalan Industri Hulu Langat turut ditutup kerana dinaiki air.

ANGGOTA bomba menyelamatkan penduduk susulan kejadian banjir di Hulu Langat. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba menyelamatkan penduduk susulan kejadian banjir di Hulu Langat. FOTO Ihsan Bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 11:56 AM