HARITH mendukung bayi yang berjaya diselamatkan bersama pasukannya yang tular di media sosial. FOTO ihsan Harith Iskander
HARITH mendukung bayi yang berjaya diselamatkan bersama pasukannya yang tular di media sosial. FOTO ihsan Harith Iskander
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelawak dan pengacara Harith Iskander, 55, yang menjalankan misi menyelamat di beberapa lokasi dan tular di media sosial apabila dia dan pasukannya berjaya menyelamatkan seorang wanita dan bayi yang terperangkap akibat banjir.

Dalam hantarannya di Instagram, Harith berkongsi situasi ketika misi menyelamat disertai bersama badan bukan kerajaan (NGO), The Hope Branch itu.

"Bayi dan ibu ini terperangkap di tingkat atas sebuah rumah kedai selama dua malam. Ketika kami mendengar berita mengenai Kampung Baru Hicom yang masih lagi tenggelam, The Hope Branch terus mendapatkan bot, bawa pasukan sukarelawan ke sana.

"Situasi yang tidak dapat dibayangkan kerana gelap, kedalaman air sehingga 10 kaki di beberapa tempat, kereta dan van semuanya tenggelam.

"Seorang pemilik kedai membantu menunjukkan arah kepada bot kami ke rumah di mana wanita dan bayi itu terperangkap dan kami berjaya membantu mereka keluar dengan selamat," tulisnya.

Harith ketika dihubungi berkata, pasukannya bekerjasama dengan beberapa kumpulan lain yang membabitkan 20 individu.

"Hari ini, kami membabitkan pasukan sukarelawan The Hope Branch dan juga beberapa kumpulan lain yang bekerjasama, lebih kurang 20 orang. Kami bermula di Changgang, Banting, membawa bekalan kepada beberapa ratus penduduk di sana.

"Misi kami adalah untuk membawa mereka keluar dari tempat mereka terperangkap seperti kawasan kampung. Tapi dalam perjalanan, ada beberapa sekatan yang kami lalui dan kami dinasihati oleh pasukan bomba bertugas supaya tidak masuk ke kawasan yang lebih dalam," katanya.

Tambahnya, pasukannya kini baharu saja bergerak ke kawasan Sri Muda, Shah Alam untuk menjalankan misi menyelamat serta mangsa banjir di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 10:04 PM