UR’S harap kehadiran mereka diterima peminat di Malaysia.
UR’S harap kehadiran mereka diterima peminat di Malaysia.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


POPULARITI dikecapi oleh kumpulan dari Singapura seperti Rusty Blade, Helter Skelter, Lovehunters dan Rockers yang dikenali di Malaysia, menjadi pendorong untuk kumpulan UR'S mengulangi pencapaian sama.

UR'S yang mempunyai dua definisi iaitu Yours (band kami milik peminat atau pendengar) dan URS (Unlimited Rock Scene-Adegan Rock Tanpa Had) dianggotai Abdul Aziz Yusof (Ajyz- gitar), Mohd Ridwan Naim (Rudy-penyanyi), Basri Jamal (gitar), Mohd Ridzuan Azmi (Boy-bass), Mohd Hirman Abdul Hamid (Ekin-keyboard) dan Syed Fadzil Adnan (Fadzil-drum).

Ajyz selaku ketua kumpulan berkata, Rudy adalah bekas penyanyi kumpulan Justice yang popular dengan lagu Anggerik Impianku pada 1990-an.

"Kami sebenarnya sudah lama aktif dalam seni, namun pada 2015 menyaksikan perubahan anggota dari penyanyi hingga pemain gitar.

"Ketika itu, kami juga menjayakan persembahan di salah satu Projek Ikhlas dan mencapai keserasian bersama.

"Akhirnya UR'S kekal dengan anggota yang sama pada awal 2016 hingga kini serta terus bergerak secara aktif dengan genre rock, metal dan slow rock," katanya.

Menurutnya berbekalkan minat, konsep dan genre muzik yang sama, mereka akhirnya sepakat bergabung untuk memajukan industri muzik lebih jauh lagi dengan menempa nama, sekali gus mendapat undangan di Singapura serta Malaysia.

"Kami mendapat undangan dari Malaysia seperti di Ipoh, Perak, Melaka, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Selangor dan berada di satu pentas bersama kumpulan XPDC, May, Dinamik, Bloodshed, Junction dan ramai lagi.

"UR'S juga pernah mendapat undangan untuk temu bual oleh radio Malaysia iaitu CTC.FM pada November 2018.

CINTA Gojira mengembalikan memori zaman persekolahan kepada pendengar.
CINTA Gojira mengembalikan memori zaman persekolahan kepada pendengar.

"Antara lokasi yang pernah kami jelajah untuk persembahan ialah Stadium Ipoh Perak, Fiesta Gempak di Teluk Intan, Konsert Gegaran Rock Lagenda di Ulu Tiram, Johor Bahru, Insider Satellite Ipoh, Perak, Dewan Hang Tuah Melaka, Warisan Studio Klang, I-Cafe Sungai Buloh, Drum Asia Seri Hartamas, Gama Rock House Johor Bahru, Sunburn Studio @ Cafe Rawang dan banyak lagi," katanya.

Sementara itu di Singapura pula, UR'S pernah berkongsi pentas dengan Rusty Blade (RockFest) di Wisma Geylang, Kreta Ayer People's Theatre bersama Bloodshed dan mendapat banyak undangan di konsert gig, kelab masyarakat dan sebagainya.

Ajyz berkata, UR'S menghasilkan single pertama berjudul Darah Airmata pada pertengahan 2018 dan berjaya memasuki senarai lagu popular di Radio Ria 89.7.

"Kami gembira kerana ia diterima baik oleh pendengar. Malah, muzik video karaoke pula sudah pun berada di YouTube sekarang.

"Pada 23 November lalu, kami hadir pula dengan single kedua berjudul Cinta Gojira yang mula diputarkan Radio Ria 89.7 dan sudah berada di semua platform digital seperti Spotify, Youtube, Facebook, Apple Music dan sebagainya.

"UR'S juga berbangga kerana mendapat gelaran Band Metal Anime oleh DJ di Radio Ria 897 di Singapura," katanya.

Bercerita lanjut berkenaan lagu, Ajyz berkata, Cinta Gojira adalah lagu ciptaan dan gabungan idea semua anggota UR'S.

BAWA pendengar imbau kisah lampau ‘cinta monyet’ zaman sekolah dalam single kedua.
BAWA pendengar imbau kisah lampau ‘cinta monyet’ zaman sekolah dalam single kedua.

"Lagu ini menceritakan kisah cinta di zaman sekolah yang sinonim dengan gelaran 'cinta monyet' ketika di tingkatan tiga.

"Menerusi lagu ini juga, kami membawa pendengar mengimbau kisah lampau mereka yang pernah terjebak dengan pelbagai memori manis dan indah.

"Kami berhasrat memikat pendengar di Malaysia, sekali gus mereka dapat mengenali UR'S dengan lebih dekat lagi," katanya.

Dengan pandemik Covid-19 yang memisahkan penduduk antara dua negara buat masa ini, UR'S berharap penampilan secara 'live' akan ditunggu-tunggu oleh pendengar di Malaysia dan dapat memikat lebih ramai pengikut baharu.

Pendengar boleh berinteraksi dengan kumpulan ini di platform media sosial seperti Facebook UR'Sbandpage dan Instagram mereka iaitu unlimitedrockscene.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 6:10 AM