EZAD dan HAIZA.
EZAD dan HAIZA.
Syanty Octavia Amry


Mengutamakan kepuasan pendengar, radio Kool FM tampil dengan segmen baru yang diberi nama Evolusi Artis di Kool.

Menampilkan lagu artis tempatan dan luar negara yang pernah menghangatkan industri muzik tanah air, segmen berkenaan sudah bermula sejak 31 Oktober lalu.

Ke udara setiap Isnin hingga Ahad, segmen istimewa ini akan berlangsung selama sebulan sehingga penghujung bulan ini.

Membariskan penghibur sejak dulu hingga kini, lebih 90 lagu nyanyian 56 artis akan diperdengarkan.

Antara artis yang dipilih ialah Datuk Hattan, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Fauziah Latiff, Anuar Zain, Ning Baizura, Ella dan Aris Ariwatan.

Segmen Evolusi Artis di Kool dicetuskan bagi menghargai karya seni artis tempatan dan juga antarabangsa yang merentasi perubahan muzik semasa.

Ezad Lazim misalnya pernah muncul bersama kumpulan Exists menerusi album pertamanya berjudul ‘Diammu Gunung Berapi’ dengan lagu ‘Masih Terserlah Ayumu’.

Ezad terus melalui peredaran masa bersama kumputan berkenaan dan akhirnya memilih bergerak secara solo. Pada tahun ini Ezad muncul dengan lagu Demi Cinta.

Sementara itu, Haiza yang pernah popular dengan lagu Dag Dig Dug suatu ketika dulu kini turut mengalami evolusi muzik daripada genre dangdut ke rock balada menerusi lagu Tentang Cinta.

Malah Haiza turut menjadi sebahagian penyampai Kool FM dan pastinya evolusi ini memberi sesuatu yang istimewa buat dirinya.

“Perjalanan seni saya mengalami perubahan yang ketara. Jika dulu saya lebih dikenali dengan lagu dangdut, kini saya cuba mencari kelainan dengan menyanyikan lagu rock balada.

“Ia sesuatu yang mencabar namun seiring peredaran zaman saya perlu berani mencuba.

“Menjadi sebahagian daripada keluarga Kool FM dan lagu turut dimainkan di dalam segmen istimewa ini juga pastinya memberi seribu makna buat saya. Ia sekali gus mengingatkan zaman awal kemunculan saya dulu,” katanya.

Bagi yang ingin mengikuti evolusi artis kesukaan mereka, jangan ketinggalan mendengar Kool FM. Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang www.koolfm.com.my serta media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 2:35 PM