XPDC ketika membuat persembahan pada Anugerah Nasyid 19, baru-baru ini.
XPDC ketika membuat persembahan pada Anugerah Nasyid 19, baru-baru ini.
Ridzuan Abdul Rahman


“KAMI bersyukur kerana pemuzik rock boleh menyanyikan lagu dakwah. Tak mungkin penyanyi nasyid juga boleh menyanyikan lagu rock. Nama konsep mereka pun nasyid,” kata penyanyi XPDC, Ali mengenai kejayaan XPDC muncul naib juara Anugerah Nasyid 19 (AN19) anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), baru-baru ini.

Dalam acara itu, kumpulan heavy metal terbabit mempertaruhkan lagu Doa hasil ciptaan pemain gitar, Izo.

Ali, 51, berkata, mereka sendiri tidak menyangka akan mendapat tempat kedua di belakang kumpulan Caliph Buskers yang mempertaruhkan lagu Buta.

“Syukur kerana kami diberikan kejayaan ini. Memang kami tak sangka dan ia satu kejutan. Kami satu-satunya kumpulan rock dalam Anugerah Nasyid. Bunyinya agak janggal tapi sebenarnya misi dan matlamat kami ialah menghibur sambil berdakwah,” katanya.

Menurutnya, judul lagu ini sendiri seakan-akan membawa tuah buat mereka dalam pertandingan terbabit.

“Mungkin Allah terima niat kami yang sampaikan lagu ini untuk semua dan mungkin juga barisan juri menilai dari segi liriknya yang baik, kemas serta penuh bermakna.

“Lagu ini tak terlalu berat dan tidak juga terlalu lembik. Konsep penceritaannya adalah terus terang dan mudah difahami. Sangat bersyukur kerana perjuangan dakwah kami diiktiraf. Namun, kami harapkan lagu ini bukan hanya dimainkan di stesen radio Ikim FM, tapi kalau boleh di semua stesen radio supaya masyarakat tahu apa yang nak disampaikan,” katanya.

Menurutnya, dengan penerimaan positif ini XPDC akan terus menghasilkan lagu berkonsep dakwah dalam album mereka pada masa akan datang.

“Kejayaan ini membangkitkan semangat kami untuk terus berdakwah. Insya-Allah kami memang rancang nak hasilkan lagu berkonsep dakwah.

“Lagipun, umur kami semakin meningkat dan sepatutnya tak boleh lagi ajak peminat ke arah perkara yang melalaikan. Jadi, ada baiknya kami ajak peminat ke arah kebaikan. Kami masih kumpulan rock tapi konsep dan niat kami sampaikan adalah dakwah,” katanya.

Ali berkata, ia bukan bermakna XPDC akan mengetepikan terus elemen cinta dalam lagu mereka.

“Kami masih layan konsep cinta. Cuma, kami nak terap dan fahamkan bahawa kita kena cinta pada Allah lebih daripada manusia. Mudah-mudahan Allah bagi kefahaman kepada kami, pendengar dan peminat XPDC,” katanya.

Album Doa dipasarkan pada Oktober lalu dan kini mereka merancang menghasilkan single terbaharu tahun depan.

Selain Ali dan Izo, XPDC kini turut dianggotai Lola (dram), Eddie (bass) dan Ariff yang juga anak Izo sebagai pemain gitar undangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 5:10 AM