STELLAR bekerjasama dengan komposer Ajai.
STELLAR bekerjasama dengan komposer Ajai.
Oleh Norhadiani Baharom

Untuk menceritakan bagaimana penubuhan kumpulan bergelar Stellar ini kisahnya agak rumit.

Tiga daripada anggotanya iaitu Bard (gitar), Wan (bass) dan Nick (dram) pernah menganggotai kumpulan The Muffins yang aktif sekitar tahun 2000.

Bergerak sebagai band indipendant pada 2008 dan selepas tidak ada lagi syarikat yang berminat untuk menerbitkan album mereka, Bard selaku pengasasnya memikirkan bahawa The Muffins harus melalui proses penjenamaan semula.

Kebetulan Amy, seorang rakan pemuzik yang sudah lama dikenali dan pernah menerajui sebuah kumpulan sebagai vokalis diambil bagi mengisi kekosongan penyanyi utama kumpulan ini.

Justeru, pada 2009 saat pembubaran The Muffins, Bard bersama yang lain sudah sedia mengisytiharkan kemunculan Stellar, sekali gus memeriahkan semula persada muzik tempatan.

"Kami memilih konsep 'urban rock Melayu'. Ia mempunyai unsur lagu rock klasik, namun diberi suntikan moden bersesuaian peredaran zaman.

"Kami percaya muzik yang diketengahkan Stellar mampu mencuri perhatian pendengar kerana kalau kita amati kebanyakan radio kembali memutarkan lagu rock yang pernah mencetuskan kegemilangan pada era 1980-an," katanya.

Tempoh hampir lima tahun berkelana di arena muzik selain usaha menempatkan Stellar, kumpulan ini pernah menghasilkan EP Cinta ke Hujung Galaksi edaran Life Records.

Stellar juga pernah bergabung dengan sebuah kumpulan dari Sabah dalam menghasilkan 'split' EP.

Bersama The Muffins, mereka pernah menerbitkan EP berjudul Cinta Hingga Ke Hujung Galaksi pada 2009 dan sebuah album penuh Kisah Bintang Pencinta pada 2010

Bagaimanapun, Stellar hanya benar-benar dikenali apabila muncul dengan projek kolaborasi bersama Datuk AC Mizal dan Fida Ibrahim yang merakamkan kembali lagu Apo Kono Eh Jang yang pernah dipopularkan Ally Noor dan Mastura.

Lagu yang ditulis dalam dialek Negeri Sembilan itu bukan saja melalui pembaharuan dari segi susunan muzik, tetapi turut menyaksikan bahagian rap oleh AC yang suatu ketika dulu pernah menganggotai kumpulan rap popular 4U2C.

Menjadikan ia bertambah menarik, apabila kedua-dua penyanyi jemputan lagu itu, AC dan Fida juga berasal dari Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, selepas ledakan lagu terbitan Sheikh Qalam Records Sdn. Bhd, Stellar memilih untuk berada di bawah naungan Wake The Baby, label rakaman milik Ajai, sekali gus bekerjasama dengan komposer terkenal itu.

"Sebelum ini kami cenderung menampilkan karya sendiri untuk mengenengahkan nama kami sejak bersama The Muffins lagi. Walaupun diterima, namun sambutannya tidak sehebat kemunculan kami merakamkan lagu-lagu saduran.

"Mungkin populariti lagu itu sendiri sememangnya sudah diterima umum, justeru apabila diberi nafas baru ia mudah diterima.

"Bagaimanapun, menerusi perancangan album mini bersama Wake The Baby Records, kami mahu meledak dengan single baru iaitu Propaganda Cinta.

"Untuk kemunculan kali ini juga, kami menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Ajai yang bukan saja bertindak sebagai produser album, tetapi menggunakan khidmatnya sebagai komposer untuk hampir keseluruhan lagu.

"Kami percaya dengan kemampuan Ajai berdasarkan karya-karyanya yang hit serta pencapaian hebat komposer itu yang tidak boleh disangkal. Kami juga mahu mengembalikan semula 'trend' pembikinan muzik dan album sebelum ini yang mengiktiraf hasil ciptaan komposer,"kata Bard lagi.

Propaganda Cinta, sebuah lagu ditulis sepenuhnya oleh Ajai serta Bard yang bertindak selaku penggubah. Tiada pemuzik undangan digunakan sepanjang rakaman album ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:00 AM