PARAXIT dianggotai Wal Aduka (kanan), Azri (tengah) dan Nazrul. -Foto ZUNNUR AL SHAFIQ
PARAXIT dianggotai Wal Aduka (kanan), Azri (tengah) dan Nazrul. -Foto ZUNNUR AL SHAFIQ
Syafil Syazwan Jefri


JIKA sebelum ini, nama Azri Abdullah lebih dikenali sebagai penyanyi solo lebih-lebih lagi selepas menyertai program realiti Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), kini dia selesa bergerak bersama band baru yang dikenali sebagai Paraxit.

Terkini, Paraxit yang turut dianggotai Wal Aduka (gitar) dan Nazrul (gitar) hadir dengan single baharu berjudul Kalimat Cinta.

Memilih genre rock, Paraxit yang ditubuhkan sejak tahun lalu banyak mengambil inspirasi daripada Hyper Act dalam berkarya.

“Pada 14 April lalu, kami lancarkan single sulung berjudul Kalimat Cinta ciptaan Frozen Hyper Act. Jadi, tak hairan kalau muzik kami kedengaran dan mengambil inspirasi daripada band itu,” kata Azri.

Menurut Azri, Paraxit ‘menyajikan’ muzik rock tanpa eksperimentasi.

“Kami nak berikan genre rock yang sejati. Kami tak ada bereksperimen dengan muzik kami. Kalau boleh, kami nak jadikan itu sebagai identiti kami,” katanya.


Sebelum dilancarkan, Kalimat Cinta sudah dijadikan lagu OST untuk drama bersiri Vila Gazhara.

“Dari situ, ramai peminat mula tahu mengenai lagu ini. Bagi kami, itu satu lagi strategi terbaik untuk memperkenalkan karya kami kepada pendengar. Jadi, apabila dilancarkan, ia sudah ‘mesra’ telinga,” katanya.

Bercerita mengenai lagu Kalimat Cinta, ia mengisahkan mengenai alam percintaan.

“Kisah cinta yang kami sampaikan tidak hanya terhad atau terlalu spesifik kepada sesuatu hal kerana ia bersifat umum. Jadi, ia sesuai untuk semua orang.

“Secara ringkasnya, lagu ini kami rakam pada tahun lalu. Cuma, pihak pengurusan berasakan tahun ini adalah waktu sesuai untuk kami lancarkan lagu ini,” katanya.

Ditanya sama ada Paraxit menggunakan strategi lain untuk mempromosikan single baharu ini, mereka akan lebih banyakkan promosi di media sosial.

“Kami akan gunakan media sosial sebagai platform untuk mempromosikan Kalimat Cinta. Di Instagram, kami mulakan dengan cabaran untuk membuat versi ‘cover’ lagu Kalimat Cinta.

“Harapnya, lagu ini diterima dengan baik oleh pendengar dan penggemar muzik tempatan dan semoga kehadiran kami dalam industri mewarnai industri seni muzik tanah air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 5:00 AM