PANDORA pertaruh single Diari April.
PANDORA pertaruh single Diari April.
Oleh Michelle Gun

Industri muzik tanah air dirancakkan lagi dengan kemunculan kumpulan baru, Pandora menerusi single sulung mereka berjudul Diari April. Dianggotai penyanyi She (vokalis) dan anggota kumpulan O-Two, Alan (gitaris), Ijoy (basis) dan Anep (dram), kumpulan itu membawa konsep alternatif rock.

Bernaung di bawah syarikat rakaman antarabangsa Warner Music Malaysia, kumpulan Pandora ditubuhkan tahun ini atas persefahaman anggota O-Two dengan She.

Menceritakan lanjut mengenai kumpulan itu, Anep berkata, O-Two sudah lama mengenali She atau nama sebenar Nurashida Azli, 27, yang selalu bersama membuat persembahan di pentas 'underground'.

"Selepas mengadakan perbincangan, kami sepakat untuk menubuhkan kumpulan baru kerana mahu membawa kelainan dalam industri muzik tanah air.

"Walaupun menubuhkan kumpulan baru, O-Two masih lagi aktif dan tiada perancangan untuk membubarkannya kerana mempunyai peminat dalam dan luar negara," katanya.

Menurutnya, perkataan Pandora dipilih sebagai nama kumpulan kerana bermaksud kotak yang diisi kandungan istimewa.

"Nama ini sebagai simbolik kepada kumpulan ini yang merangkumi personaliti, imej dan karya.

"Berbeza dengan O-Two yang membawa muzik berat, Pandora pula berkonsepkan alternatif rock yang diselitkan beberapa elemen baru dari segi irama, penulisan dan teknologi," katanya.

Mengulas lanjut mengenai single Diari April, Anep berkata, lagu itu adalah kisah benar yang dipetik daripada sebuah diari.

"Kisahnya kami terjumpa sebuah diari yang ditinggalkan di satu lokasi. Pemiliknya menyimpan perasaan terhadap seorang rakan lelaki. Namun, rakannya tidak menyedari gadis itu meminatinya.

"Suatu hari si gadis itu terserempak lelaki berkenaan bersama teman wanitanya," katanya.

Anep berkata, melodi lagu itu dihasilkan oleh She dan dikemas semula oleh Ijoy dan Alan.

"Kekuatan lagu ini adalah pada melodi dengan susunan segar. Ia turut diselitkan dengan lirik yang mendalam.

"Bagi kami, karya dihasilkan perlu selari dengan kehendak pendengar zaman sekarang," katanya.

Tambah Anep, video muzik single Diari April boleh ditonton di laman YouTube dan lagu itu sudah dihantar ke beberapa stesen radio untuk diputarkan kepada pendengar.

"Kami juga berharap lagu ini dapat dijadikan sebagai lagu tema drama tanah air," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 5:03 AM