Najwa Latif
Najwa Latif
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Najwa Latif bakal meraikan 10 tahun pembabitannya sebagai anak seni dalam sebuah konsert KMI In person With Najwa Latif di TV2, jam 9 malam ini. 

Najwa berkata, dia tidak menjangka kehadirannya sebagai penyanyi sudah memasuki tahun ke-10 dan mengakui bukan satu perjalanan mudah. 

"Sejujurnya saya masih terkejut dan tak sangka yang perjalanan seni saya sudah memasuki tahun ke-10. Begitu pantas masa berjalan dan tempoh sedekad 'menggembara' dalam industri seni bukan satu perjalanan yang mudah.

"Sepanjang 10 tahun berkecimpung dalam industri seni, ia boleh dianggap perjalanan yang banyak mengajar dan mendidik saya. Malah, saya sangat bertuah kerana dikelilingi dengan insan-insan hebat yang terus memberikan sokongan dan galakan untuk saya terus maju ke depan,"katanya. 

Menurut Najwa, konsert KMI In Person With Najwa Latif bakal menyaksikan rangkuman lagu hits yang pernah dipopularkan sejak dirinya bermula sebagai penyanyi pada usia 14 tahun. 

"Konsert ini boleh dianggap sebagai meraikan saya bersama peminat kerana mereka saya berjaya sampai ke tahap sekarang. Mereka tidak putus-putus menyokong setiap karya baru yang saya perkenalkan. 

"Selama 10 tahun ini juga banyak rezeki yang saya terima dan dapat kongsikan dengan keluarga. Saya bersyukur kerana Tuhan menganugerahkan saya bakat untuk saya hiburkan hati ramai orang,"katanya. 

KMI In Person With Najwa Latif bakal menyaksikan kehadiran rakan duet Najwa, Akwa Ariffin sebagai artis undangan. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 2:29 PM