NAJWA (kiri), Syafiq dan Hafiz. FOTO Instagram Najwa Latif, Syafiq Farhain, Hafiz Zainal
NAJWA (kiri), Syafiq dan Hafiz. FOTO Instagram Najwa Latif, Syafiq Farhain, Hafiz Zainal
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Bergelar anak seni bukan penghalang buat seseorang artis mengejar cita-cita memiliki kerjaya tetap lain.

Hakikatnya kerjaya tetap menjadi sandaran penting untuk dijadikan jaminan punca rezeki jika pendapatan dalam kerjaya nyanyian atau lakonan tidak menentu.

Walaupun kebanyakan artis cukup selesa mengutamakan fokus 100 peratus dalam bidang seni, ada yang berjaya membuktikan mereka mampu melakukan dua kerja dalam satu masa.

Pastinya berdepan kekangan tertentu contohnya masa, namun mereka berjaya mengatasinya.

Dari sudut positif, kejayaan menguasai bidang berbeza sebenarnya menunjukkan keupayaan mereka tidak terhad kepada kemahiran tertentu saja.

Laluan untuk mendapatkan kerjaya tetap pun bukan mudah kerana mereka masih perlu menjalani proses sama dengan orang lain.

Justeru, tiada istilah 'layanan istimewa' buat mereka hanya kerana status artis.

Malah, ada yang memang sudah terlebih dulu berkerjaya tetap sebelum menjadi artis, menceburi bidang lain ketika masih bergelar artis dan sebagainya.

Pokok pangkalnya, ia berbalik kepada keinginan mereka untuk ada atau teruskan kerjaya berkenaan.

Antara yang terus memilih kerjaya tetap tetapi dalam masa sama masih aktif menyanyi ialah Najwa Latif, 28 yang memilih kerjaya sebagai pensyarah.

Najwa Latif

Najwa Latif atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif berkata, sejak sekolah rendah lagi dia berazam menjadi pendidik.

Najwa sangat cintakan bidang akademik sehinggalah kini sudah lebih lima tahun menjadi pensyarah sepenuh masa.

Memiliki Sarjana Pengajian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Malaya (UM), penyanyi yang popular dengan lagu Kosong itu juga sedang menyambung pengajian Doktor Falsafah pula. Pada masa sama, kerjaya seni masih dikawal rapi.

Menurut Najwa, terbabit dalam bidang seni sejak usia 16 tahun menjadikan dirinya lebih cekap mengurus setiap kerjayanya.

Baginya, fokus yang betul dan enggan terlalu memaksa diri tunjuk dirinya bagus adalah strategi berkesan agar dapat menikmati selain seronok dengan kedua-dua bidang.

NAJWA bijak bahagi masa antara tugas sebagai pensyarah dan juga penyanyi. FOTO Arkib NSTP
NAJWA bijak bahagi masa antara tugas sebagai pensyarah dan juga penyanyi. FOTO Arkib NSTP

"Sebaik habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya terus kejar cita-cita jadi pendidik kerana itu memang sasaran sejak kecil. Memang ada cabaran terutama dari segi jadual antara menyanyi dan belajar tapi bila fokus satu-satu, alhamdulillah perjalanannya dipermudahkan.

"Kerana sudah terbiasa, sekarang saya seronok buat kedua-duanya dan lebih relaks. Sebagai penyanyi, saya tak paksa diri dan go with the flow kalau bab penulisan lagu, manakala sebagai pensyarah pun kesibukannya terkawal dan tak rasa penat pun," katanya.

Najwa juga mengakui bergelar figura awam sememangnya mempengaruhi persekitaran dalam kerjaya tetapnya. Bagaimanapun, dia anggap itu cabaran biasa kerana setiap hari menjadi proses pembelajaran buatnya menjadi individu yang terbaik dalam setiap bidang.

"Memang tumpuan itu ada, tapi kena hadapi dengan baik. Tidak mengapa kalau ada buat salah kerana itulah proses pembelajaran untuk kita. Persepsi orang, kita tak boleh nak kawal, namun yang penting kita pilih kerjaya tertentu sebab minat dan pamerkan kredibiliti sebaik mungkin," katanya.

Syafiq Farhain

Alasan utama penyanyi, Syafiq Farhain, 29, memiliki kerjaya tetap sebagai pegawai bomba dan penyelamat ialah supaya kehidupannya lebih terjamin dan selamat.

Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A M Salim berkata, pekerjaan tetap menjanjikan pendapatan atau gaji setiap bulan berbanding bidang nyanyian.

"Kalau ada tawaran persembahan, pendapatan akan masuk. Memang bayarannya lumayan tapi sejauh mana jaminan itu?" katanya.

Penyanyi yang dikenali dengan lagu Kau Bidadari itu juga enggan sia-siakan pengorbanannya menempuh banyak halangan demi mengecap cita-cita sebagai anggota bomba.

Katanya, ratusan ribu yang berharap mendapat pekerjaan itu dan takkan semena-mena dia tolak rezekinya.

"Dalam ramai-ramai yang mohon, saya dapat. Kemudian rekrut, siapa yang ada pengalaman tahulah bagaimana peritnya tapisan itu. Ketika proses itu pun, ramai yang berhenti sebab tak tahan. Berhujan panas, angkat barangan berat.

SYAFIQ tidak pernah berhasrat mahu meningggalkan kerjaya sebagai anggota bomba. FOTO Instagram Syafiq Farhain
SYAFIQ tidak pernah berhasrat mahu meningggalkan kerjaya sebagai anggota bomba. FOTO Instagram Syafiq Farhain

"Susahnya nak dapat kerja. Tapi kenapa bila sudah dapat, nak berhenti pula? Memang tidaklah. Itu yang saya pegang sampai sekarang. Bersyukurlah sebab saya yang dapat daripada ramai-ramai yang minta," katanya yang juga anak kepada penyanyi Iklim, Allahyarham Saleem.

Berstatus artis juga tidak memberi masalah buat Syafiq di tempat kerja kerana dia sendiri sudah bekerja sebagai anggota bomba sebelum menyanyi.

Justeru, rakan sekerjanya tidak kekok dan begitu juga dirinya. Cumanya dia perlu sentiasa bersiap-sedia fizikal dan mental untuk mana-mana tugasan.

"Kalau sentuh bab pengurusan masa juga tiada masalah kerana saya kerja waktu pejabat. Jadi, kalau hujung minggu memang tiada apa-apa. Undangan nyanyian pun sebelah malam, hujung minggu. Kalau bertembung masa kerja pun sama, jabatan akan beri sokongan," katanya.

Hafiz Zainal

Sementara itu, penyanyi dan bekas peserta Big Stage musim ketiga, Dr Hafiz Zainal, 31, percaya menjadi anak seni perlu realistik terutama memikirkan ekonomi tidak menentu.

Hafiz yang juga doktor gigi dan memiliki klinik gigi berkata, artis juga perlu sentiasa meneroka bidang kemahiran lain.

"Kita tengok Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang juga peguam dan penyanyi dulu, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai ahli perniagaan, apalah kami ini. Memang perlu ada pelan back up kerjaya lain ikut bidang kita minati juga.

"Macam saya, tak naklah sia-siakan penat-lelah bertungkus lumus belajar jadi doktor gigi sejak dulu. Dengan kelayakan atau ijazah misalnya, kita dapat manfaatkannya tatkala berdepan dugaan seperti tiada kerja sebagai anak seni pada waktu pandemik misalnya," katanya.

Hafiz juga bersyukur ada kelonggaran dari segi masa sekarang melakukan kedua pekerjaannya. Ini kerana pengalaman waktu belajar dan pada masa sama menjadi artis rakaman sebelum ini sudah mengajarnya jadi lebih efisyen apabila menguruskan masa.

HAFIZ bertugas sebagai doktor gigi di sebalik kerjaya sebagai anak seni. FOTO Instagram Hafiz Zainal
HAFIZ bertugas sebagai doktor gigi di sebalik kerjaya sebagai anak seni. FOTO Instagram Hafiz Zainal

"Sebelum jadi doktor gigi pun, saya sudah rasa masuk studio rakaman hingga subuh dan kemudian kena masuk kuliah pula pada waktu pagi. Saya juga bersyukur ada rakan perniagaan klinik yang sangat memahami sekiranya saya perlukan masa untuk agenda seni," katanya.

Hafiz mengakui kelebihan sebagai seorang artis sebenarnya banyak membantu kerjaya sebagai doktor gigi.

Selain promosi menarik pelanggan datang buat rawatan di klinik, dia ambil peluang itu untuk mendekati lagi peminatnya.

"Kalau buat rawatan, saya ada juga nyanyi-nyanyi sedikit. Saya nak bagi mesej bahawa doktor gigi bukannya menakutkan. Saya pastikan keadaan di bilik rawatan tak tertekan dan rasa tenang. Bila mereka tak tertekan, saya pun seronok. Itu paling penting," katanya.

Banyak kelebihan miliki kerjaya tetap

Pakar Pengurusan Diri, Kepimpinan, dan Organisasi, Dr Azuraida Shahadan percaya artis yang memiliki kerjaya tetap banyak cabang kelebihannya.

Bukan sekadar masa depan terjamin, bahkan mereka dapat meluaskan jaringan dalam pelbagai aspek kualiti kehidupan.

"Sangat bagus seandainya ada kerja tetap atau berniaga sendiri sebab tak perlu mengharapkan lakonan atau nyanyian semata. Kerana hakikat kehidupan sebagai artis, tiada siapa dapat ramal masa depan, dan tak boleh nak jangka jika mereka akan sentiasa ada job.

"Bila ada kerja tetap, sekurangnya ada simpanan dan tahu cabang masa depan. Selain itu, ia mengubah paradigma dan tidak tertumpu hanya dalam satu industri bidang saja. Jaringan dan kenalan, kemahiran dan ilmu turut bertambah," katanya.

Pada masa sama, Azuraida turut menekankan bahawa artis masih perlu protokol di tempat kerja.

DR Azuraida. FOTO Arkib NSTP
DR Azuraida. FOTO Arkib NSTP

Selain sentiasa menjadi idola dan pengaruh kepada masyarakat, setiap tindak-tanduk serta kehidupan mereka akan diperhatikan.

"Jika seseorang artis itu mempunyai kerjaya tetap, maka di situ perhatian perlu diberikan kepada aspek penjagaan etika dan tingkah laku. Mereka kena pastikan mematuhi peraturan di tempat kerja dan menjaga nama baik majikan ataupun organisasi.

"Dari segi fizikal pula termasuk tingkah laku kena jaga, jika berlakon boleh bertepuk tampar berpegangan tangan dalam lakonan, di tempat kerja tak boleh. Mental kena jaga minda untuk sentiasa sihat, tidak stress, belajar terima keadaan. Juga kesihatan kena tahu limitasi diri, jangan overwork dan kena pandai jaga kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 8:30 AM