Gumpalan lengan busana digaya Sherry yang disamakan netizen dengan Aina (kanan).
Gumpalan lengan busana digaya Sherry yang disamakan netizen dengan Aina (kanan).
Zaara Talita


Kuala Lumpur: "Setiap pemakaian artis pada malam anugerah, pasti memiliki nilai estetik yang berbeza. Saya sendiri memandangnya sebagai gurauan daripada peminat di luar sana".

"Paling penting sekali adalah kreativiti mereka! I love".

Demikian kenyataan pelakon dan pengacara Sherry Alhadad berhubung jenaka netizen yang menyamakan lengan busana digayakannya ketika Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) lalu dengan pakaian penyanyi, Aina Abdul di Anugerah Bintang Popular BH Ke-34 (ABPBH 34) malam semalam.

Mengenakan busana hitam beropol-ropol di lengan, wargamaya menjadi bahan jenaka mengaitkan lebihan lengan baju Sherry itu dengan gaya Aina di karpet merah ABPBH34 malam tadi, yang berupa hijab gumpalan kain berbentuk mawar di kepala.

Pelbagai fesyen menarik artis dan selebriti bergaya sakan di karpet merah memeriahkan anugerah berprestij berkenaan.

Membuat kejutan dengan persembahan istimewa bagi membuka tirai malam kemuncak ABPBH 34 itu, Sherry juga berjaya memikul tanggungjawab membuatkan penonton di rumah merasakan bahang kehangatan seperti dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).

Sherry yang kembali ke pentas ABPBH34 sebagai hos tunggal selepas kali pertama bergandingan dengan Amy Mastura dan AG mengendalikannya pada ABPBH 2014, ternyata semakin mahir dalam pengacaraan meski tanpa kehadiran penonton.

Katanya, dia akan cuba menghiburkan penonton di rumah sebaik mungkin walaupun berseorangan di atas pentas ABPBH34 itu.

"Jujurnya, saya gementar sejak Isnin lalu. Sehingga saya menghantar mesej kepada keluarga dan rakan-rakan memohon doa. Sebab selalunya saya mempunyai teman atas pentas, berdua atau bertiga, tetapi kali ini hanya seorang diri.

"Tetapi, saya cuba sebaik mungkin menghidupkan suasana ABPBH34, walaupun berseorangan. Lebih mendebarkan kerana anugerah itu bersiaran secara langsung.

"Terima kasih saya ucapkan kepada kelab peminat iaitu Sherrylicious, rakan selebriti, media dan semua pihak yang memberikan kata-kata semangat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 7:59 PM