Fesyen digayakan Aina Abdul
Fesyen digayakan Aina Abdul
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi lagu Sumpah dan Semalam, Aina Abdul tampil memberi kejutan di sesi karpet merah Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 dengan menaiki lori lutsinar. 

Aina berkata, dia memilih untuk menaiki lori kerana saiz busana berbentuk blazer gergasi yang dipakainya, tidak akan muat sekiranya dia menaiki kereta. 

"Kalau saya nak kereta saya, memang tak muat. Nak masukkan 13 orang dalam kereta pun tak muat. Jadi, saya pilih untuk sewa lori," katanya kepada Harian Metro. 

Aina tampil tampil dengan blazer gergasi bersaiz empat kaki lebar berwarna merah rekaan Behati yang mengambil masa seminggu untuk disiapkan. 

"Saya memang selesa dengan konsep blazer bersaiz besar seperti mana yang kerap saya pakai sebelum ini. 

"Jadi, kali ini saya mengambil inspirasi daripada konsep itu dan meminta pereka untuk menghasilkan blazer bersaiz empat kaki lebar," katanya. 

Selesai bergambar, busananya 'diubah' menjadi gaun merah  yang diinspirasikan daripada bunga mawar merah. 

"Konsep bunga mawar pula adalah sebagai rentetan daripada konsep sebelum ini di mana saya memakai busana dengan inspirasi daripada mawar hitam. 

"Kali ini saya memakai busana mawar merah," katanya. 

Sebelum Penyanyi Wanita Popular dan Lagu Paling Boom Popular muncul di karpet merah, dia dihantar menaiki lori lutsinar dan bersiap selama tiga jam. 

"Saya mengambil masa tiga jam untuk disiapkan. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan hasilnya," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 9:25 PM