Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah yang juga Pengarah Projek, Adibatul Husna Fadzil menunjukkan produk sabun yang dihasilkan oleh warga emas yang menyertai bengkel pembuatan sabun daripada bahan terpakai menerusi latihan program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) warga emas yang dilaksanakan oleh Pusat Aspirasi Anak (PASAK). FOTO BERNAMA
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah yang juga Pengarah Projek, Adibatul Husna Fadzil menunjukkan produk sabun yang dihasilkan oleh warga emas yang menyertai bengkel pembuatan sabun daripada bahan terpakai menerusi latihan program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) warga emas yang dilaksanakan oleh Pusat Aspirasi Anak (PASAK). FOTO BERNAMA
BERNAMA

Tapah: Seramai 10 peserta terdiri daripada warga emas berusia lingkungan antara 60 hingga 71 tahun, menyertai bengkel pembuatan sabun daripada bahan terpakai menerusi latihan program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) warga emas, yang dilaksanakan oleh Pusat Aspirasi Anak (Pasak).

Bengkel yang turut mendapat kerjasama Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu diadakan di UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah di sini, selama lima hari bermula Rabu lepas.

Pengarah Projek Adibatul Husna Fadzil berkata objektif bengkel berkenaan, untuk memberi pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam pembuatan sabun daripada sumber bahan terpakai secara saintifik dan selamat.

Beliau yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan berkata kebiasaannya golongan berkenaan, tidak mempunyai apa-apa aktiviti selepas bersara dan dengan menyertai bengkel sedemikian mereka dapat menambah ilmu pengetahuan selain mampu menjana pendapatan dengan menjual sabun yang dihasilkan nanti.

"Program sebegini merupakan kali pertama dijalankan dengan Pasak memberi geran berjumlah RM12,000 kepada Fakulti Sains Gunaan untuk melaksanakannya dan setiap peserta mendapat elaun RM200.

"Peserta diajar beberapa jenis sabun pencuci pinggan jenis cecair dan sabun pencuci pakaian, yang dihasilkan daripada bahan kitar semula seperti minyak terpakai, susu tepung yang telah tamat tempoh, serbuk kopi, serbuk oat atau apa apa sahaja bahan yang ada di rumah," katanya kepada pemberita di sini.

Adibatul berkata antara modul yang didedahkan sepanjang bengkel berkenaan ialah etika keselamatan ketika pembuatan sabun, kaedah pembuatan sabun pencuci pinggan dan pakaian serta kaedah pembuatan sabun daripada susu tepung, minyak terpakai atau bahan organik.

Beliau berkata peserta turut didedahkan dengan modul berkaitan strategi pemasaran produk dan pengiraan bahan kos dan keuntungan, sekiranya mereka mahu menjalankan perniagaan menjual sabun yang dihasilkan selepas tamat menyertai bengkel berkenaan.

"Pasak akan memantau peserta sama ada mereka akan menjual sabun yang dihasilkan sendiri atau membuat sesuatu dengan ilmu yang mereka peroleh hasil daripada menyertai bengkel ini," katanya.

Seorang pesara Rafidah Mohd Idris, 66, dari Ayer Kuning di sini berkata beliau telah menghasilkan sabun daripada bahan terpakai sejak dua tahun lepas, namun berminat untuk menyertai bengkel tersebut bertujuan untuk menambah ilmu berkaitan penghasilan pelbagai jenis sabun.

"Saya menghasilkan sabun basuh pinggan sebelum ini, tetapi apabila menyertai bengkel ini macam-macam ilmu yang saya perolehi sebagai contoh sabun mandian dan sabun cucian bahan-bahannya tak sama, akan tetapi asas pembuatannya memang sama jadi di sini saya dapat ilmu baru.

"Insya-Allah sekiranya ada rezeki saya akan menjual sabun yang saya hasilkan sendiri secara kecil-kecilan. Apabila sudah pencen ini perlu mencari aktiviti supaya otak dan badan sentiasa kekal cergas dan sihat," katanya yang merupakan pesara kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2024 @ 7:40 AM