Penyanyi Aina Abdul ketika hadir karpet merah pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH34) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO TEAM FOTO NSTP
Penyanyi Aina Abdul ketika hadir karpet merah pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH34) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO TEAM FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Aina Abdul yang tampil dengan busana serba hitam pada sesi karpet merah Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH 34) menjelaskan rekaan pereka Behati itu adalah kesinambungan kepada jalan cerita single baru yang diterbitkannya berjudul Aina Abdul.

Menurut Aina, rekaan busana itu adalah simbolik kepada bentuk bunga mawar yang mana turut menjadi simbolik untuk single barunya itu.

"Konsep ini adalah kesinambungan jalan cerita dalam Aina Abdul yang baru sahaja dilancarkan. Inspirasinya adalah daripada mawar merah.

"Namun, malam ini, saya ingin tampilkan mawar hitam dan ia adalah simbolik daripada fesyen yang saya dah lama nak ketengahkan," katanya.

Ditanya mengenai kritikan di media sosial sejak awal malam tadi, Aina memilih untuk tidak membaca sebarang kritikan dan terus mengikut kata hatinya dalam menata gaya.

"Saya kurang baca kritikan dan sebab itulah saya rasa saya boleh bertahan. Kalau saya baca, saya takkan boleh tahan.

"Saya buat apa yang hati saya rasa betul dan saya nak setiap penampilan saya ada impak. Tapi, kritikan pun sebenarnya adalah publisiti yang bagus," katanya.

Aina dan rakan kolaborasinya, Khai Bahar diumumkan sebagai pemenang anugerah kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular sebentar tadi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 10:51 PM