FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Anugerah Bintang Popular BH 34 (ABPBH34) akan membawa kembali kategori Anugerah FANtastik Popular ABPBH34 dan memperkenalkan kategori baru, Artis TikTok Popular ABPBH34 dengan kerjasama aplikasi media sosial video, TikTok.

Pengarah Jawatankuasa Pengelola ABPBH34 yang juga Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir berkata, pihaknya berbesar hati menjalinkan kerjasama untuk tahun kedua bersama TikTok.

"Setinggi penghargaan diucapkan kepada TikTok yang sekali lagi menjalin kerjasama dengan BH. Kami sentiasa proaktif melakukan penambahbaikan dalam penganjuran ABPBH terutamanya aspek pencalonan serta kategori yang dipertandingkan," katanya dalam satu kenyataan.

Shamshul berkata, kategori yang diwujudkan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada kelab peminat.

"Pengiktirafan yang diberikan oleh ABPBH bukan sahaja kepada artis, selebriti dan karyawan, malah kami juga ingin memberi penghargaan kepada kelab peminat yang sentiasa menjadi nadi kuat dalam menyokong industri seni tanah air.

"Mereka juga sekali gus berperanan dalam membantu penganjuran ABPBH untuk kekal bertahan lebih daripada tiga dekad," katanya.

Melalui kategori Anugerah FANtastik Popular ABPBH34, artis dan kelab peminat (FC) yang meraih undian tertinggi bakal membawa pulang trofi berprestij ABPBH34.

Bagi memeriahkan lagi penganjuran ABPBH34, peminat juga boleh berkongsi video TikTok paling kreatif menggunakan lagu penaja utama ABPBH34 iaitu Xiaomi yang bertajuk Untukku Xiaomi bersama gaya tari yang ditetapkan dengan meletakkan tanda pagar #ABPBH34.

Untuk menyertai #ABPBH34 kempen video TikTok ini, pengguna perlu ikuti akaun TikTok TV3Malaysia dan XiaomiMalaysia .

Video paling kreatif dengan 'likes' dan 'engagement' paling tinggi berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik dari Xiaomi.

Tarikh penyertaan dan undian bagi kedua-dua kategori itu boleh dilakukan mulai hari ini hingga 7 November ini di laman aplikasi TikTok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 11:59 AM