Norazah bersama anaknya.
Norazah bersama anaknya.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Seorang ibu sanggup berkorban dengan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 sebagai motivasi buat anaknya lulus dalam peperiksaan itu.

Norazah Spiji, 48, berkata, dia mengikuti kelas di pusat peningkatan akademik dan pakar bagi membantu pelajar SPM dengan mengambil sembilan mata pelajaran.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi mengubah sikap anaknya, Muhammad Haziq Asyraf yang tidak mahu belajar sebaliknya lebih gemar bermain permainan video dan telefon bimbit.

"Niat saya nak ajar anak dan beri motivasi kepada dia. Sebabnya, dia memang suka main game sampai lewat malam, telefon bimbit. Saya suruh belajar, dia tak nak. Jadi, saya fikir macam mana nak ajar dia. Saya pun tak pandai.

"Bukan apa, saya takut keputusan SPM dia nanti tak melayakkan dia untuk sambung pelajaran. Jadi, saya cakap pada diri kenapa tidak saya ambil juga SPM. Maka, saya pun mengikuti kelas dalam talian yang dibuat PTTI.

"Memandangkan anak duduk di asrama, dengan cara ini saya boleh bantu dan pada masa sama dapat ajar dia dalam pelajaran menggunakan nota yang ada," katanya.

Menurutnya yang berasal dari Sarikei, Sarawak, tidak menjangka memperoleh keputusan 3A, 3B, 2C dan 1D.

Gred A membabitkan mata pelajaran Bahasa Melayu (A-), Sejarah dan Matematik (A).

"Saya sangat gembira dan bersyukur sangat. Tak sangka boleh dapat banyak A. Rakan saya semua pun cakap perkara sama. Memang terkejut.

"Saya pilih program Selekoh Akhir PTTI sebab dapat tahu ramai pelajar dapat banyak A belajar di sini. Kalau saya belajar sendiri tak faham pula. Alhamdulillah, selama tiga bulan saya mudah ingat dan faham.

"Ketika itu dalam fikiran tak terfikir pun nak dapat A dalam Matematik. Apatah lagi dengan umur saya ini, memang cepat lupa. Tapi, saya cuba juga," katanya.

Hasil daripada pengorbanan dan kerja keras Norazah itu, anaknya berjaya mengubah peperiksaan percubaan yang sebelum ini 6G ke 3A.

"Saya berharap anak saya akan lebih berjaya pada masa hadapan. Terima kasih semua cikgu yang membantu saya," katanya.

Dalam pada itu, hantaran video dimuat naik di TikTok Sir Race memaparkan keterujaan Norazah ketika membuat semakan keputusan SPM pada 27 Mei lalu.

Dipaparkan bagaimana Norazah dalam keadaan berdebar sambil dikelilingi oleh rakan sekerja yang turut teruja menunggu keputusan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2024 @ 8:01 AM