HAKISAN tanah boleh mengancam keselamatan pemilik rumah.
HAKISAN tanah boleh mengancam keselamatan pemilik rumah.
Nurul Husna Mahmud


Selain banjir, tanah runtuh atau hakisan tanah antara bencana yang boleh mengancam banyak nyawa ketika musim hujan.

Penting untuk pemilik rumah terutama yang dibina di tanah cerun lebih cakna mengenai ketahanan tanah dan tahap 'kesihatan' cerun anda.

Ini penting bukan sahaja memastikan struktur rumah tidak mengalami kerosakan, malah ia dapat mencegah kehilangan nyawa berpunca daripada hakisan tanah.

Banyak faktor menjadi punca kejadian hakisan tanah dan paling popular membabitkan insiden yang berlaku di Malaysia ialah pergerakan air dalam tanah, hakisan sungai, ombak dan gegaran dari mesin, trafik serta lain-lain menyebabkan pergerakan tanah.

Ada tip bagi membantu mengurangkan hakisan dan risiko akibat hakisan tanah. Di sini dikongsikan empat kaedah boleh diamalkan pemilik yang mendirikan rumah di tanah cerun.

PERGERAKAN air dalam tanah punca berlaku hakisan.
PERGERAKAN air dalam tanah punca berlaku hakisan.

1. Pilih tumbuhan yang dapat memperlahankan hakisan

Tumbuhan memainkan peranan penting dalam mencegah hakisan tanah berlaku di lereng bukit.

Tanah yang terbuka tanpa ada tumbuhan meningkatkan risiko pergerakan tanah berlaku lebih cepat.

Tumbuhan tertentu sangat penting dalam menangani hakisan dengan ciri-ciri mempunyai sistem akar yang dalam bermakna memberi kestabilan pada lapisan tanah.

Malah tumbuhan itu juga perlu tahan lasak dalam sebarang cuaca termasuk musim kemarau supaya penjagaannya lebih mudah. Beberapa spesies yang dicadangkan termasuk spesies rumput hiasan, sumac, lili, jasmin kuning dan lantana.

Selain itu, kenal pasti tanah supaya dapat padanan tanaman yang sesuai. Contoh tanah berpasir, spesies Rhizopora lebih sesuai.

POKOK beringin antara tumbuhan boleh memelihara kecerunan.
POKOK beringin antara tumbuhan boleh memelihara kecerunan.

2. Cipta keadaan lereng bukit sesuai untuk pertumbuhan pokok

Mewujudkan keadaan yang dapat menggalakkan pertumbuhan pokok juga penting untuk mengurangkan hakisan tanah.

Terutama untuk kawasan bercerun yang lebih berbatu atau berlumpur kerana keadaan itu lebih terdedah kepada risiko tanah runtuh.

Pokok mempunyai sistem akar yang lebih dalam dan menjalar meningkatkan kestabilan pada struktur tanah berbanding tumbuhan lebih kecil.

Daun pokok ini memperlahankan kadar hujan sampai ke tanah dan sistem akar boleh membantu menyerap lebihan air. Pokok juga memerangkap air dan sedimen (lumpur, pasir, kelikir dan sebagainya yang dibawa dan ditinggalkan oleh air atau angin di permukaan tanah serta endapan) mengurangkan tahap hakisan tanah.

Contoh pokok terbaik ialah pokok beringin kerana akarnya mampu mencengkam tanah dengan baik dan membantu mengurangkan hakisan.

3. Penggunaan batu-batuan yang dapat menstabilkan tanah

Selain memilih tumbuhan yang sesuai untuk lereng bukit, pemilik rumah boleh memilih batu-batuan dengan ciri-ciri tertentu dimuatkan dalam rekaan landskap untuk mengurangkan kadar penyerapan air ketika hujan ribut.

Pemasangan batu riprap (susunan bongkah batu semula jadi atau blok konkrit buatan dengan ukuran dan isi padu tertentu) antara pilihan yang baik untuk mencegah hakisan.

Secara amnya, batu bergerigi melakukan kerja lebih baik untuk menstabilkan tanah daripada batu licin. Memasang batu perangkap sedimen boleh mengurangkan hakisan di kawasan rendah seperti di sekitar longkang takungan air hujan.

Apabila air mencapai kawasan rendah, batu yang lebih besar boleh memperlahankan arus air hujan dan membantu memerangkap sedimen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2024 @ 6:12 AM