AINA ‘menenggelamkan’ persalinan selebriti lain sebaik melangkah di IB pada segmen karpet merah ABPBH 35.
AINA ‘menenggelamkan’ persalinan selebriti lain sebaik melangkah di IB pada segmen karpet merah ABPBH 35.
Fatin Farhana Ariffin


SELAIN kejayaan Bell Ngasri merangkul trofi Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, Jumaat lalu, penampilan penyanyi, Aina Abdul pada segmen karpet merah menjadi antara topik 'trending' di Twitter.

Busana berbentuk 'blazer' gergasi rona merah selebar empat kaki digayakan Aina 'menenggelamkan' persalinan selebriti lain, sebaik penyanyi lagu Terus Hidup itu melangkah di Istana Budaya (IB).

Mencipta

momen sendiri, Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 30, tiba di IB dengan menaiki lori lut sinar bersama anggota kumpulannya.

Aina mengaku berhabis puluhan ribu ringgit untuk tiga persalinan di ABPBH 35, termasuk sewaan lori lut sinar yang membawa busana gergasi rona merah rekaan Behati seberat 25 kilogram (kg) dan 20 anggota pasukannya.

"Pada kemunculan di ABPBH 34, ramai kata saya banyak menunjukkan bentuk badan, baju ketat dan sebagainya.

"Jadi, kali ini saya pilih Behati lagi. Disebabkan saya suka pakai 'oversized blazer', jadi kami putuskan mencipta busana sama.

"Blazer merah rekaan Behati ini mengambil masa seminggu untuk disiapkan. Saya ambil inspirasi konsep mega dalam merealisasikan persalinan ini," katanya.

Berkongsi mengenai kenderaan yang dipilih untuk menghadiri acara anugerah itu, Aina berkata, hanya lori boleh memuatkan busana itu dan anggota pasukannya.

"Bukan sengaja saya naik lori pergi ABPBH 35. Ini perlu kerana baju itu terlalu besar selain turut disokong kayu. Jika dikira, semuanya seberat lebih 20kg.

MENCIPTA momen sendiri, Aina tiba di IB dengan menaiki lori lut sinar bersama anggota kumpulannya.
MENCIPTA momen sendiri, Aina tiba di IB dengan menaiki lori lut sinar bersama anggota kumpulannya.

"Kalau saya naik kereta, tidak muat," katanya.

Selesai memperagakan 'blazer' besar itu, Aina yang menjadi selebriti terakhir melangkah di karpet merah, menukar busana kepada konsep sekuntum bunga mawar merah besar di dada bersama ekor gaun yang meleret.

"Saya dikenali dengan bunga ros. Jadi, tahun ini saya pilih ros merah. Sebelum ini pada ABPBH 34, saya tampil dengan gaya ros hitam.

"Jadi, konsep bunga ros ini adalah rentetan daripada gaya terdahulu," katanya.

Aina yang menghabiskan tiga jam untuk bersiap, berpuas hati menyedari busana digayakan di karpet merah ABPBH 35 mendapat perhatian ramai.

Selain beraksi di pentas ABPBH 35 mendendangkan lagu Terus Hidup dalam segmen belasungkawa mengenang anak seni yang sudah menyahut seruan Ilahi, malam bersejarah itu menyaksikan Aina merangkul trofi Penyanyi Wanita Popular dan Lagu Paling Boom bagi single sama.

"Dari kecil saya ikuti ABPBH. Jadi, apabila saya ceburi arena ini, saya taruh harapan dapat menggenggam trofi ABPBH. Malam ini, ia jadi kenyataan, Alhamdulillah," katanya.

RANGKUL trofi Penyanyi Wanita Popular pada ABPBH Ke-35.
RANGKUL trofi Penyanyi Wanita Popular pada ABPBH Ke-35.

Mengulas mengenai kritikan peminat terhadap penyanyi lain, terutama pesaing dalam kategori sama, Aina sentiasa sentiasa mengingatkan penyokong supaya tidak berbalah.

"Saya selalu ingatkan kelab peminat, Ainations supaya berhati-hati dan jangan berbalah. Saya dan rakan penyanyi lain, kami baik-baik sahaja.

"Malah, selagi (kontroversi) terkawal, saya abaikan demi kesihatan mental," katanya.

Pada kategori Penyanyi Wanita Popular, Aina bersaing dengan Siti Nordiana yang menang trofi itu pada edisi ke-32 dan ke-34; Ernie Zakri, Nabila Razali dan Wany Hasrita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 6:30 AM