VARIASI tanaman pelbagai.
VARIASI tanaman pelbagai.
Nurul Husna Mahmud


Sekilas pandang, suasana Kebun Komuniti Seksyen 8 Timur di Shah Alam, Selangor ini tidak ubah seperti pemandangan sering dilihat di kawasan tanah tinggi.

Mana tidaknya batas tanaman yang diusahakan 52 ahli komuniti terbabit begitu indah tersusun pada tanah berteres yang memenuhi sebahagian daripada 1.86 hektar tanah milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menariknya kawasan ini dulu hanya kawasan lapang berbukit yang tidak diusahakan, kini berubah wajah menjadi tempat komuniti bersantai sambil menikmati panorama hijau di tengah bandar raya Shah Alam.

Usaha komuniti memperindahkan kawasan lapang dengan aktiviti berkebun dan penanaman sayur majoritinya menambah landskap dalam bandar.

Lebih istimewa, kebun komuniti itu dikenali sebagai Taman Seroja turut menjadi perintis kepada lebih 32 kebun komuniti di sekitar Shah Alam.

Menurut Pengerusi Kebun Komuniti itu, Datuk Zainuddin Ahmad, komitmen 52 ahli komuniti yang mengusahakan tanaman di batas masing-masing merealisasikan projek landskap berkonsepkan 'taman makanan organik.'

"Jujur saya katakan mengusahakan taman dengan konsep kebun sayur bersama tanaman hiasan pada keluasan hampir dua hektar bukan tugas mudah.

"Ini kerana rata-rata ahli komuniti berusia 60 tahun ke atas dan dibantu seorang penggerak komuniti dalam membangunkan projek kebun bandar ini.

"Kami mendapat sokongan pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Pertanian dan TNB dalam menjayakan Taman Seroja ini.

"Sumbangan seperti sistem paip dan saliran menerusi sistem penyiraman automatik sangat membantu kami dalam menguruskan taman lebih efisien," katanya.

 TASIK antara tarikan di Kebun Komuniti Seksyen 8 Timur.
TASIK antara tarikan di Kebun Komuniti Seksyen 8 Timur.

Tambah Zainuddin, tanpa kolaborasi dengan agensi berkaitan bagi membangunkan kemudahan taman itu pada tahap ini berdepan sukar.

"Jika keluarkan modal sendiri, komuniti terpaksa membelanjakan kos RM20,000 dalam memastikan sistem penyiraman automatik itu dapat digunakan.

"Maklumlah perlu ada pam untuk sedut air serta beri tekanan supaya mesin semburan air dapat menyiram tanaman sekitar Taman Seroja," katanya.

Mengenai ruang yang wujud dalam taman terbabit, kata Zainuddin, selain plot batas tanaman ahli komuniti, ada juga projek fertigasi dan plot tanaman sitrus.

"Dalam Taman Seroja juga selain memiliki ruang yang luas untuk kami eksperimentasi pelbagai jenis tanaman, ada juga tasik semula jadi.

"Tasik ini adalah tumpuan utama yang mana boleh menjadi lokasi aktiviti riadah seperti memancing atau berkelah.

"Tidak jauh dari laman bercucuk tanam, kami ada gerai untuk ahli melakukan aktiviti berjual beli yang mana membantu menjana pendapatan komuniti," katanya.

GUNASEELAN mengamalkan kaedah tanaman organik memastikan sumber tanaman selamat.
GUNASEELAN mengamalkan kaedah tanaman organik memastikan sumber tanaman selamat.

Sementara itu, penggerak komuniti Taman Seroja, Gunaseelan Seernyanathan, 41, yang menyertai komuniti sejak lima tahun lalu berkata, dia membantu ahli komuniti memulakan kerja membangunkan projek terbabit yang mahu tampil dengan taman organik dan mesra alam semula jadi.

"Saya menyokong usaha tuan pengerusi dan ahli lain yang mahu tanaman di sini terutama makanan menggunakan formulasi baja dan racun organik.

"Bukan mudah, tetapi amalan menggunakan bahan semula jadi memberi akses kepada sumber tanaman yang lebih sihat dan selamat.

"Selain itu, amalan menggunakan bahan organik juga menjamin ekosistem taman itu lebih mampan.

"Contohnya penggunaan racun daripada bahan semula jadi, walaupun terpaksa melakukan dua kali seminggu, ini lebih baik berbanding menggunakan racun kimia semburannya sekali bertahan selama berbulan," katanya.

Tambah Gunaseelan, penggunaan racun dan baja organik juga menjamin keselamatan ahli komuniti apabila mempunyai kontak langsung dengan bahan itu.

"Kita sedia maklum kebanyakan ahli komuniti minat berkebun adalah golongan veteran dan mereka memiliki masalah kesihatan tertentu.

"Malah kita mahu pastikan kesihatan pengguna atau pengendali kebun atau tanaman juga terjamin," katanya.

KEBUN sayur dibangunkan oleh komuniti.
KEBUN sayur dibangunkan oleh komuniti.

Antara racun dibangunkan beliau ialah racun organik gabungan daun semambu direndam dalam Mikroorganisma Efektif (EM) atau mikrobio berperanan menghindari serangan serangga perosak.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Landskap MBSA, Khairunnisa Mohd Zaini berkata, inisiatif kebun komuniti ini contoh terbaik dalam pengurusan kos secara efektif membangunkan kawasan lapang untuk menjadi lanskap atau taman komuniti.

"Ini model terbaik antara kolaborasi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan komuniti dengan komuniti itu sendiri mereka landskap hijau di kawasan kejiranan masing-masing.

"Orientasi berdasarkan keperluan komuniti setempat yang mana mereka sendiri mencipta landskap dapat digunakan untuk beriadah dan interaksi.

"Satu sudut lain, apabila sesuatu kawasan lapang dijadikan kebun komuniti dan taman oleh penduduk, ia memberi penambahan kepada flora dan fauna dalam kawasan perbandaran.

"Ini juga peluang penduduk untuk lebih kreatif mereka landskap bagi dimanfaatkan oleh penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2024 @ 7:00 AM