ABPBH berjaya catat 4.4 juta penonton menurut Nielsen.
ABPBH berjaya catat 4.4 juta penonton menurut Nielsen.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH34) yang berlangsung pada 13 November lalu mencapai 4.4 juta penonton dan 34 peratus syer penonton berdasarkan sumber Nielsen.

ABPBH34 juga berjaya meraih tontonan lebih 460,000 di penstriman langsung Karpet Merah dan Malam Kemuncak di platform YouTube TV9, TV3, Tonton dan BH sepanjang siaran langsung itu.

Sehingga 22 November lalu, acara itu turut menerima tontonan hampir 800,000 di semua platform. ABPBH34 yang turut disiarkan di platform TikTok juga mendapat tontonan serentak tertinggi hampir 10,000 penonton dengan jumlah mencecah 350,000 tontonan.

Dalam pada itu, tanda pagar #ABPBH34 turut menduduki carta topik tular di platform Twitter apabila meraih lebih 35,000 ciapan sepanjang siaran langsung acara itu berdasarkan sumber SproutSocial, Tonton, TikTok dan YouTube.

Pada malam kemuncak itu, pelakon, penyanyi dan pengacara Janna Nick dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH34 dengan mendapat lebih 86 juta undian, sekali gus membawa pulang trofi dan sebuah kereta.

Sebelumnya, Janna juga memenangi kategori Pelakon Filem Wanita Popular dan Pengacara TV Popular.

ABPBH34 yang menampilkan Xiaomi sebagai penaja utama bersiaran secara langsung melalui saluran TV3 dan tonton termasuk YouTube BH dan TV3, TikTok dan laman web ABPBH www.abpbh.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 8:48 PM