ANGGOTA Inteam (berdiri di belakang) bersama kumpulan VE.
ANGGOTA Inteam (berdiri di belakang) bersama kumpulan VE.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Video TikTok Allahyarham Siti Sarah bersama keluarga dengan muzik latar lagu Allah Allah Aghisna serta pelbagai video sedih dan keinsafan lain yang turut menggunakan lagu sama, mendorong kumpulan nasyid, Inteam merakamkan semula lagu itu.

Kumpulan dianggotai Mohd Syahril Abdul Khalid, Muhammad Hazamin Harun, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman ini turut bergandingan dengan kumpulan Voices of Euphonious atau VE untuk projek khas sempena Maulidur Rasul.

"Kami pilih lagu ini kerana ia lagu yang semakin popular dan ramai pula berminat buat 'cover'. Maknanya lagu ini pun sangat baik.

"Ia jadi pilihan untuk kematian akibat Covid-19. Kami tengok carian di Internet, YouTube dan Google juga banyak perkongsian mengenai lagu ini.

"Jadi kami melihatnya sesuai dibuat semula untuk Maulidur Rasul. Liriknya juga relevan kerana kita memohon kepada Allah supaya membantu kita," kata Syahril menerusi sesi sedia media secara maya yang turut disertai anggota VE.

Menurut mereka, lagu ini dimuat naik di saluran Inteam Digital sejak 18 Oktober lalu dan kini sudah mendapat lebih 21,000 tontonan dalam tempoh seminggu. 

"Inteam dah lama berhasrat nak bekerjasama dengan VE. Kami pernah terbabit dalam program Maulid dan Malam Cinta Rasul dengan mereka sebelum ini.

"Kebetulan baru-baru ini saya diundang dalam 'talk show' mereka di Instagram, dan dari situ tercetus idea untuk kami menghasilkan bersama single sempena Maulidur Rasul," kata Abdul Rahim. 

Sementara itu anggota VE iaitu Zaf, Adeep Nahar, Hakim dan Cham mengakui mereka sangat gembira dapat bekerjasama dengan Inteam.

"Kami berbesar hati jadi pilihan Inteam untuk jalin kerjasama. InsyaAllah, mungkin kami akan bekerjasama lagi dengan mereka (Inteam) untuk projek berikutnya nanti," kata Adeep. 

Menariknya, selain dinyanyikan dalam bahasa Arab, lagu Allah Allah Aghisna ini turut dinyanyikan dalam terjemahan bahasa Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 9:03 PM