ANGGOTA In-Team (dari kiri) Hazamin, Abdul Rahim dan Syahril. FOTO Arkib NSTP
ANGGOTA In-Team (dari kiri) Hazamin, Abdul Rahim dan Syahril. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin


"DOAKAN perjalanan haji kami berjalan lancar. Alhamdulillah, Allah SWT memberi rezeki untuk menunaikan haji pada tahun ini," kata anggota kumpulan nasyid In-Team, Mohd Syahril Abdul Khalid.

Mohd Syahril atau Syah, 39, akan berangkat ke Tanah Suci pada penerbangan 27 Julai ini bersama seorang lagi anggota In-Team, Muhammad Hazamin Harun, 39.

Menurut Syah, dia dan Hazamin kini berdebar menghitung hari untuk ke Tanah Suci bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Katanya, mereka berdua bersama isteri masing-masing sangat bersyukur kerana berpeluang menunaikan haji ketika masih sihat dan bertenaga.

"Rezeki saya dan Hazamin ke Tanah Suci ini kerana kami berkhidmat menjadi mutawif membawa jemaah haji dari Malaysia.

"Sambil bekerja, Alhamdulillah dapat juga rezeki menunaikan haji. Semoga perjalanan ibadah haji kami lancar dan dipermudahkan segala urusan," katanya.

Mengulas dua rakan dalam In-Team iaitu Hisyam Ahmad @Ahmadiah dan Abdul Rahim Osman yang tidak berangkat sama, Hazamin berkata, mereka baru balik dari Makkah membawa jemaah umrah.

"Rezeki Hisyam dan Rahim lebih awal daripada kami kerana mereka menjadi mutawif untuk rombongan jemaah umrah baru-baru ini.

"Apa pun, harapan saya semoga segalanya dapat dilakukan dengan baik mengikut apa yang sudah dipelajari dalam kursus haji," katanya.

Menurut Hazamin, In-Team masih aktif dalam rakaman lagu dan pada Aidilfitri lalu muncul dengan lagu duet bersama Raqib Majid berjudul Raya Bersama.

"Selain itu, In-Team juga ada melancarkan lagu duet selawat dwibahasa berjudul Talama Ashku dengan penyanyi kelahiran Macedonia, Mesut Kurtis pada Mei lalu.

"Alhamdulillah, In-Team masih lagi bernafas dan aktif dalam penerbitan kerja seni kami. Terima kasih dengan sokongan diberi," katanya.

Sudah dua dekad berjuang dalam industri muzik nasyid, In-Team pernah meraih pencapaian jualan album tertinggi iaitu Kasih Kekasih pada 2000 sebanyak 80,000 unit, diikuti Impian Kasih pada 2001 (50,000 unit) dan Damba Kasih pada 2003 (50,000 unit).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 6:57 PM