AZZAM positif dengan dugaan menimpa ahli keluarganya yang dijangkiti Covid-19.
AZZAM positif dengan dugaan menimpa ahli keluarganya yang dijangkiti Covid-19.
Norhayati Nordin


Dugaan yang datang kadang-kadang sukar dijangka. Apatah lagi, ketika penularan wabak Covid-19 yang berlanjutan hampir dua tahun ini.

Jika difikirkan memang tiada siapa yang ingin dirinya dijangkiti, namun ujian daripada Yang Maha Esa itu tidak dapat diduga.

Penyanyi, Azzam Sham, 24, tidak menafikan perasaannya sedih dan hati juga rapuh berikutan ibu bapa dan seorang adik perempuannya disahkan positif Covid-19, baru-baru ini.

Kata anak sulung daripada enam beradik ini, dia sangat bimbang memikirkan keadaan ahli keluarganya yang dijangkiti virus berbahaya itu walaupun sekarang masing-masing dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

"Kalau ikutkan rasa sedih dan bimbang dalam hati ini, saya memang tidak kuat kerana masih berfikir bagaimana keadaan sebegini boleh menimpa saya sekeluarga. Ia dugaan yang amat berat untuk ditanggung.

"Namun, ini dinamakan takdir dan saya perlu sentiasa kuat demi memberi semangat kepada adik-adik yang lain. Saya tidak boleh lemah kerana tidak ada siapa pun ingin diri mereka dijangkiti pandemik ini," katanya.

Terdahulu pada 31 Ogos lalu, ibu bapa Azzam iaitu Lop Hisham Piai, 53, dan Yusnita Yusop, 45, disahkan positif Covid-19 selepas Lop Hisham beberapa hari kurang sihat dan menunjukkan gejala.

AZZAM (depan kanan) bersama ibu bapa dan adik-adiknya.
AZZAM (depan kanan) bersama ibu bapa dan adik-adiknya.

Menerusi ujian calitan, Azzam berkata, ternyata bapanya positif dan diikuti ibu juga. Namun, pada Isnin lalu juara Big Stage musim ketiga ini dikejutkan dengan keputusan adiknya, Siti Nurazwani, 17, yang juga positif virus itu.

"Saya tak sangka ketika kami berenam menjalani kuarantin di rumah, Siti Nurazwani pula dijangkiti. Saya jadi bimbang dan fikiran tak menentu," katanya.

Azzam berkata, dia reda dengan dugaan menimpa keluarganya itu. Dia juga yakin mental dan fizikalnya kuat untuk menghadapi dugaan ini kerana ramai memberi kata-kata semangat.

"Keadaan saya dan adik-adik turut dipantau ibu dan bapa saudara yang sentiasa bertanya khabar. Malah, ujian calitan kami berlima juga negatif. Justeru, sokongan semangat dan doa daripada mereka banyak membantu saya untuk positif.

"Lagipun, Allah sudah takdirkan keluarga saya begini. Jadi, saya perlu terima dengan berlapang dada dan banyakkan berdoa. Namun, saya mohon tolong doakan juga," katanya.

Menurut penyanyi lagu Biar Saja dan Cinta Jangan Pergi ini, dia akan menjaga adik-adiknya sebaik mungkin sehingga ibu bapanya pulang ke rumah semula dan disahkan pulih sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 6:30 AM