ALLAHYARHAM Rodzi dan Nazita (belakang). FOTO Ihsan keluarga.
ALLAHYARHAM Rodzi dan Nazita (belakang). FOTO Ihsan keluarga.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: "Saya tak sangka akan menjadi ketua keluarga dalam sekelip, namun saya perlu bersedia menghadapinya," kata Muhammad Haidir Rodzi, 23.

Pemuda itu adalah anak pasangan Rodzi Tahar, 55, dan Nazita Idris, 45, yang masing-masing meninggal dunia 31 Mei dan 6 Jun lalu, akibat dijangkiti Covid-19.

Rodzi yang mempunyai sejarah penyakit buah pinggang menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Tampin, manakala Nazita enam hari kemudian ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban (HTJS).

Kini, Muhammad Haidir menjadi tempat empat adik beradik lain iaitu Muhammad Hairie Rodzi, 20; Nurhairieka Rodzi, 18; Muhammad Haiqiel Rodzi, 13 dan Muhammad Khierzamani Rodzi, tujuh tahun menumpang kasih.

"Kami tetap akan tinggal bersama, dan saya akan jaga adik-adik sebaik mungkin.

"(Tanggungjawab ini) Bukan mudah terutama mengendalikan dua adik yang masih bersekolah," katanya ketika ditemui di rumahnya peninggalan arwah bapa mereka di Bandar Sunggala, di sini, hari ini.

MUHAMMAD Haidir (baju biru) bersama dua adiknya. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
MUHAMMAD Haidir (baju biru) bersama dua adiknya. FOTO Mohd Khidir Zakaria.

Muhammad Haidir berkata, dia menganggap itu ujian yang perlu dihadapi mereka lima beradik.

"Ibu dan ayah pergi ketika kami masih memerlukan mereka terutama adik bongsu.

"Dia kerap termenung kerana yang paling manja dengan arwah ayah," katanya.

Bagaimanapun, katanya, mereka reda dengan ketentuan Allah yang menguji mereka sekeluarga dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa hati-hati dengan wabak ini.

"Sebelum ini saya dengar ramai yang masih tidak percaya dengan Covid-19 tetapi wabak inilah yang meragut nyawa orang yang saya sangat sayangi.

"Saya terima ini semua ujian Allah dan wabak ini hanya penyebab. Mungkin pemergian ayah dan ibu untuk menguji kesabaran serta keimanan kita kepada Yang Maha Esa," katanya sayu.

Menurutnya, dia berharap mendapat pekerjaan tetap bagi menyara keluarga terutama adik-adiknya yang masih bersekolah.

Dia turut mengakui amat bersyukur kerana ramai yang prihatin dan menyumbang pelbagai barangan dapur serta wang tunai untuk kegunaan mereka sekeluarga.

Berita berkaitan:

  • Lima beradik yatim piatu akibat Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 3:53 PM